SINGAPURA, 25 APRIL – Penggunaan kod respons pantas (QR) dalam kalangan rakyat Malaysia kini telah menjadi kebiasaan baharu, bermula dari perkhidmatan perbankan, pertukaran kenalan, hingga pemesanan makanan.
Bagaimanapun, dengan peningkatan penggunaan kod QR, firma keselamatan siber Kaspersky memberi amaran kepada rakyat Malaysia untuk terus berjaga-jaga terhadap ancaman yang semakin berkembang melibatkan penipuan kodQR.
Menurut Penyelidik Keselamatan Utama Kaspersky, Noushin Shabab, penipuan QR adalah bentuk baharu ancaman siber iaitu apabila penyerang menghasilkan kod QR berniat jahat yang membahayakan keselamatan siber pengguna.
“Penipuan QR ini berlaku apabila kod yang sah ditukar menjadi kod palsu, yang berpotensi mencuri maklumat atau wang pengguna, atau menyebabkan komplikasi lain yang mengancam keselamatan mereka.
“Dengan peningkatan penggunaan kod QR di Malaysia, lebih ramai penyerang melihat ia sebagai peluang untuk mengeksploitasi,” katanya dalam satu temu bual bersama Bernama di GITEX Asia 2025, Marina Bay Sands hari ini.
Menurut Laporan Digital 2025 Global Overview oleh DataReportal, Malaysia menduduki tempat kedua selepas China dalam penggunaan kod QR, dengan 66.1 peratus daripada penduduk aktif menggunakannya. – Bernama
