Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    ‘Bukan senang jadi Siti Nurhaliza’

    Bergelar seorang penyanyi terkenal, usahawan, isteri dan ibu kepada dua orang cahaya mata, Datuk Seri Siti Nurhaliza akui ia bukanlah satu tugas yang mudah untuk menguruskan semuanya dengan baik.

    Menurut Siti, 43, ada ketika dia sendiri berasa penat namun cuba melakukan yang terbaik dan sentiasa bersikap positif.

    “Tugas sebagai ibu dan bekerja di luar kedua-duanya susah. Saya tidak mahu buat diri tertekan dan hanya follow the flow sahaja. Saya cuba buat semua dengan semampunya.

    “Bukan senang dan ada ketika saya sendiri rasa penat. Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan itu. Namun saya tidak mahu jadikan alasan untuk breakdown. Hanya berfikiran positif dan syukur ahli keluarga cukup memahami,” katanya kepada mStar.

    Siti juga bersyukur kerana ada insan-insan penting di belakangnya yang sentiasa membantu dan memberi sokongan dalam menguruskan kerja-kerja di rumah selain tugasan sebagai seorang anak seni dan juga usahawan.

    Siti bersama suami dan anak-anak. Siti akui ada masa penat jalankan tanggungjawab terhadap kerjaya dan keluarga. – Agensi

    Dalam pada itu, suaminya iaitu Datuk Khalid Mohd Jiwa juga meminta pihak pengurusan mengaturkan jadual kerja dan masa untuk bersama keluarga di rumah.

    “Saya bukan ibu yang sempurna. Ada kekurangan dan masih banyak yang perlu dipelajari. Saya lega ada orang-orang di belakang yang memberi sokongan. Dalam kesibukan kerja sistem sokongan itu amat penting.

    “Ada ketika apabila pulang lewat dan anak-anak sudah tidur saya mula rasa kasihan melihat mereka. Anak kedua juga sudah pandai merajuk.

    “Saya fikir ini adalah tanggungjawab dan cuba bahagikan masa sebaik mungkin. Suami juga sudah beritahu kepada pengurusan kerjaya seni supaya tidak menyusun jadual saya terlalu padat. Sekurang-kurangnya ada tiga hari dalam seminggu berehat dan luangkan masa bersama keluarga di rumah,” ujarnya.

    Siti dan Datuk K mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2006 dan mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Siti Aafiyah, 4, dan Muhammad Afwa yang kini berusia setahun.

    Siti ditemui ketika sidang media Queen Of The Night Datuk Seri Siti Nurhaliza berlangsung di Kuala Lumpur pada Rabu.

    Persembahan istimewa Siti itu pula bakal berlangsung pada 6 Ogos bertempat di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

    “Saya juga terkejut apabila diberitahu semua meja telah terjual. Ada pihak yang membeli semua meja untuk membawa ibu tunggal dan anak yatim daripada golongan B40 untuk menyaksikan persembahan saya malam itu nanti.

    “Saya anggap ini adalah satu hadiah buat golongan tersebut yang tidak dapat pergi ke konsert saya sebelum ini atau hanya melihat persembahan di kaca televisyen. Ini adalah kesempatan buat mereka,” ujarnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...