Selasa, Julai 29, 2025
33 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bukti keazaman atasi kekurangan diri

    SELANGOR – Apabila Rishan Ponraj Sivaraj, 23, mendengar mengenai pertandingan menaip pertama anjuran Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) untuk golongan cacat penglihatan, beliau terus mengambil peluang untuk menguji kemahirannya.

    Rishan, seorang pelatih pengurusan bank, tidak menyangka dirinya mampu menewaskan para peserta lain dan muncul juara Pertandingan Menaip Skrin Gelap (Black Screen Typist Competition, BSTC).

    “Saya menyertai pertandingan ini kerana minat saya mahu cuba sesuatu yang baharu dan cabar diri sendiri.

    Secara jujur, saya nilai kemahiran menaip saya sekitar enam atau tujuh daripada sepuluh. Saya agak mahir, tapi masih ada ruang untuk diperbaiki.

    “Ramai peserta yang lebih berusia dan berpengalaman. Jadi saya sangat terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang,” kata Rishan dalam temu bual telefon dari Dengkil, Selangor.

    Rishan menyertai pertandingan tersebut untuk mencabar diri, meningkatkan kemahiran dan menimba lebih banyak pengalaman. – ANN/The Star
    Rishan juga memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera (Bahasa Inggeris untuk Profesional) dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. – ANN/The Star
    Individu cacat penglihatan boleh menjadi sama produktif seperti orang lain apabila diberikan alat dan sokongan yang bersesuaian. – ANN/The Star
    Pertandingan itu menyerlahkan kepentingan aksesibiliti dan membuktikan bahawa golongan buta juga bersedia menerima peluang yang sama rata. – ANN/The Star

    Pertandingan yang berlangsung pada 4 Julai lalu di kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur itu menampilkan dua kategori iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

    Rishan merangkul tempat pertama dalam kategori Bahasa Melayu dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

    Dilahirkan dengan katarak dan glaukoma, Rishan masih mampu melihat cahaya, pantulan dan warna – terutama jika objek itu dekat dengannya.

    Walaupun berhadapan dengan cabaran penglihatan, beliau berjaya menamatkan Tingkatan Enam dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.58 dan seterusnya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera (Bahasa Inggeris untuk Profesional) dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

    Sejak Januari tahun lalu, Rishan bekerja di sebuah bank di Kuala Lumpur.

    Anak bongsu daripada empat beradik ini bukanlah asing dengan pertandingan menaip.

    Beliau pernah menyertai pertandingan membaca Braille peringkat tempatan anjuran Masyarakat Orang Buta Malaysia dan MAB.

    Pada tahun 2020, beliau memenangi tempat pertama kategori junior dalam Pertandingan Membaca dan Menulis Braille Antarabangsa ke-7 yang diadakan di Bangkok, Thailand.

    “Saya menyertai pertandingan seperti ini untuk mencabar diri, meningkatkan kemahiran dan menimba pengalaman.

    “Menang di peringkat antarabangsa amat menggembirakan kerana saya dapat mewakili Malaysia dengan bangga. Ia juga satu peluang luar biasa untuk bertemu peserta dari negara lain dan belajar daripada mereka.”

    SENTUHAN KEJAYAAN

    BSTC menarik penyertaan 23 individu cacat penglihatan, kebanyakannya dari Lembah Klang.

    Untuk melayakkan diri, peserta perlu memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU) dan mahir menggunakan komputer yang beroperasi dengan sistem Windows, termasuk menjelajah File Explorer, serta menggunakan perisian Microsoft Word dan pembaca skrin seperti Non-Visual Desktop Access (NVDA) atau Job Access With Speech (JAWS).

    Kemahiran menaip pada tahap pertengahan diperlukan.

    Semasa pertandingan, peserta ditutup mata dan diminta menaip berdasarkan rakaman audio menggunakan NVDA. Pemarkahan dibuat berdasarkan kelajuan dan ketepatan.

    Rishan memperoleh markah cemerlang sebanyak 92.5 peratus.

    Eksekutif kanan teknologi maklumat dan komunikasi MAB, Haffiyan Lali, 35, yang turut cacat penglihatan, berkata pertandingan ini bertujuan mencabar persepsi salah masyarakat terhadap keupayaan golongan buta dalam era digital masa kini.

    “Ramai orang masih tidak tahu bahawa individu cacat penglihatan boleh menjadi sama produktif seperti orang lain, asalkan mereka diberikan kemudahan dan persekitaran yang sesuai.

    “Kami berharap pertandingan ini dapat mengetengahkan pentingnya akses digital. Kami juga ingin menunjukkan kepada masyarakat bahawa orang buta juga berkemampuan dan layak diberi peluang yang setara.

    “Golongan cacat penglihatan boleh jadi sama produktif seperti sesiapa sahaja,” katanya.

    Haffiyan turut berharap peserta membawa pulang rasa diperkasa dan keyakinan diri.

    “Bagi ramai peserta, ini mungkin kali pertama mereka mempamerkan kemahiran digital dalam suasana umum dan kami mahu mereka bangga dengan keupayaan mereka.

    “Kami juga harap mereka mendapat rasa kekitaan, sedar mereka tidak keseorangan dan ada ramai lagi seperti mereka yang mencabar batasan dan memecahkan stereotaip.

    “Pertandingan ini juga memberi peluang kepada peserta untuk membina keyakinan diri, mengasah kemahiran insaniah seperti fokus dan ketahanan, serta terus terdorong mengejar peluang dalam pendidikan, pekerjaan dan seterusnya.

    Kami mahu mereka tahu bahawa kemahiran mereka berharga, suara mereka didengari dan sumbangan mereka bermakna.”

    Melalui pertandingan ini juga, Haffiyan berharap masyarakat menyedari bahawa hidup tanpa penglihatan tidak bererti hidup tanpa kebolehan.

    “Golongan buta dan cacat penglihatan sama cerdas, berbakat dan produktif seperti orang lain, terutama apabila aspek kebolehcapaian diberi keutamaan.

    “Matlamat utama adalah untuk mengubah perspektif daripada melihat ketidakupayaan sebagai kekurangan, kepada memahaminya sebagai sebahagian daripada kepelbagaian manusia yang wajar diberi peluang dan sokongan setara.”

    KEKUATAN DALAMAN

    Rishan merupakan bukti nyata kepada semua yang dinyatakan.

    “Saya selalu ingatkan diri saya bahawa Tuhan menjadikan saya begini atas sebab tertentu, jadi walau apa pun, saya harus teruskan hidup. Pemikiran ini bantu saya menerima keadaan diri.

    “Menjadi buta buat saya melihat kehidupan dari sudut yang berbeza dan saya bersyukur kerana itu.

    “Bagi sesiapa yang sedang berjuang, nasihat saya ialah terimalah diri awda sepenuhnya, sandarkan kekuatan pada keluarga dan rakan-rakan, serta percayalah pada kebolehan diri.

    “Fokus pada apa yang awda mampu lakukan, bukan pada apa yang awda tak mampu.

    Hidup mungkin berbeza, tapi tetap indah.

    “Teruskan belajar, kekalkan harapan dan sentiasa bersyukur dengan perjalanan hidup sendiri,” katanya mengakhiri temu bual. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda