Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Buku Junjung Kasih II: Legasi Bersemi di Bumi Temasek dilancar

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Pengalaman yang amat bermakna, berharga dan bernilai tinggi sudah pasti akan terus menjadi sumber dan bahan rujukan yang akan menyumbang ke arah perkembangan, pembangunan dan kemajuan intelektual generasi muda.

    Ia juga akan menjadi iktibar dan panduan hidup masa kini dan akan datang, jelas Pengetua Pusat Sejarah Brunei (PSB), Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong dalam kata alu-aluannya semasa Majlis Pelancaran dan Apresiasi Penerbitan Buku Junjung Kasih II: Legasi Bersemi di Bumi Temasek yang berlangsung di Kompleks Sukan Jerudong, hari ini.

    Hadir menyempurnakan pelancaran buku berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned serta para jemputan khas.

    Dr Haji Muhammad Hadi berkata, “Ini selaras dengan keperluan bangsa dan negara khususnya sebelum dan selepas era kemerdekaan yang dicapai pada tahun 1984.”

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi melihat dengan lebih dekat kandungan buku, Junjung Kasih II: Legasi Bersemi di Bumi Temasek. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyampaikan Anugerah Seri Temasek kepada Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyampaikan Anugerah Seri Temasek kepada Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz. – Gambar oleh Sim Y. H.
    ATAS & BAWAH: YB Dato Seri Setia Haji Nazmi menyampaikan cenderamata kepada penulis buku Junjung Kasih II: Legasi Bersemi di Bumi Temasek. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Sim Y. H.

    Beliau menambah bahawa menerusi rentetan sejarah daripada pengalaman penuntut-penuntut Asrama Kerajaan Brunei Singapura (AKBS) berkenaan, ia amatlah bermakna sekali dengan menghayati kedudukan hakikat sejarah itu dalam kehidupan beragama, berbangsa dan bernegara.

    Majlis seterusnya menyaksikan perasmian buku Junjung Kasih II: Legasi Bersemi di Bumi Temasek oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi.

    Buku itu adalah jilid kedua yang berkesinambungan daripada buku, Junjung Kasih: Sumbangan Penuntut Biasiswa Kerajaan Brunei di Singapura (1950-1982) yang diterbitkan pada 2019.

    Buku kedua itu mengandungi pengalaman pendidikan, ilmu pengetahuan dan kepelbagaian kepakaran penuntut-penuntut AKBS semasa menuntut di Singapura dan berkhidmat dengan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Sebanyak 32 artikel termasuk syapen, lima buah sajak dan dua buah resensi buku disumbangkan oleh 28 orang penulis dalam buku berkenaan di mana antara artikel dalam buku itu ialah ‘Tanglin Hill: Tempat Baharu Suasana Baharu’, ‘Memor: Rahmat dan Nikmat yang Disyukuri’ dan ‘Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien: Satu Mercu Tanda Teknologi Kejuruteraan Awam’.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi seterusnya menyampaikan cenderamata kepada 28 orang penulis buku berkenaan dan menyampaikan Anugerah Seri Temasek kepada tiga orang penerima iaitu Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz dan Dato Seri Paduka Haji Kifrawi bin Dato Paduka Haji Kifli.

    Majlis diserikan dengan deklamasi sajak berjudul Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien oleh Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan sebuah syair turut ditambangkan berjudul Hidup Sederhana, hasil nukilan Ibnu ‘Abdir-
    Raheem iaitu Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Haji Abdul Rahim.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda