Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Kanser payudara merupakan kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan wanita di seluruh dunia termasuk wanita di negara ini.
Jumlah kes baharu dalam tahun-tahun kebelakangan telah menunjukkan peningkatan dengan 120 hingga 145 kes baharu setiap tahun dan daripada jumlah tersebut kira-kira 60 peratus pesakit masih di tahap lanjut.
Seperti kanser lain, kanser payudara dapat disembuhkan jika ia dikesan pada peringkat awal tapi kebanyakan orang tidak menyedari atau takut mengambil langkah untuk mempunyai rancangan bagi mengesan penyakit pada peringkat awal.
Perkara ini ditekankan oleh Pengarah Eksekutif Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC), Awang Mazrul Adimin bin Haji Besar pada Majlis Pelancaran Bulan Kesedaran Kanser Payudara di lobi PJSC, hari ini.
Hadir bagi menyempurnakan pelancaran ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar yang kemudiannya menyampaikan sijil Goodwill Ambassador kepada Wu Chun.


Dalam ucapannya itu, Awang Mazrul Adimin menyatakan pada 2019, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan program pemeriksaan kebangsaan yang merangkumi kanser kolorektal dan payudara.
Menurutnya, Bulan Kesedaran Kanser Payudara tahun ini lebih menumpukan terhadap memberi sokongan kepada mangsa dan pesakit kanser payudara di samping mengurangkan kematian pramatang dengan membuat pengesanan dan pemeriksaan awal.
Beliau turut mengongsikan bahawa pada 2019, lebih daripada 100 kes kanser payudara baharu dikesan di negara ini dan jumlahnya masih meningkat dengan sebilangan besar pesakit yang didiagnosis barah pada Tahap 3 dan Tahap 4.
Sehubungan itu, PJSC melalui usaha Perkhidmatan Pengesanan Awal dan Pencegahan Kanser (EDCPS) di bawah pimpinan pusat pakarnya, Pusat Kanser Brunei (TBCC) berharap dapat mengesan kanser pada Tahap 0 atau Tahap 1 kerana tahap ini mempunyai hampir 100 peratus kadar mengelak kematian.
Pada majlis itu, PJSC turut mengumumkan Wu Chun sebagai Ambassador Goodwill dan Messenger of Cancer Awarness.
Sejurus selepas pelancaran Bulan Kanser Payudara, Yang Berhormat Dato bersama tetamu yang lain mengadakan kunjungan ke petak pameran di EDCPS.
Majlis tersebut diteruskan dengan sesi Plenari mengenai Redefining Breast Cancer Care for Brunei-Living up to World Standards oleh Dr Ravi Patnaik.