Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) kelmarin mengadakan Majlis Perhimpunan Malam Munajat Senegara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 Tahun.
Majlis Munajat yang diadakan secara fizikal dengan tumpuan utama di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas telah dihadiri oleh Menteri-menteri Kabinet; timbalan-timbalan menteri; ahli-ahli Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB); Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei; setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap; ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan dan warga kementerian-kementerian; serta ahli jawatankuasa takmir dan para jemaah.
Manakala, Malam Munajat juga disertai 68 buah masjid termasuk surau dan balai ibadah di seluruh negara dan juga dari rumah-rumah persendirian secara maya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk dipimpin oleh johan Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara Tahun 2003, Haji Awang Muhammad Fahmie bin Haji Awang Metussin.
Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Pengarah Pusat Pengajian Lepas Ijazah dan Penyelidikan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Kharhan bin Haji Jait iaitu pembaca utama ikrar sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-16, tahun 2000.
Acara malam tadi diserikan lagi dengan tazkirah bertajuk Di Ambang Ramadan disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Sellahhuddin.
Tazkirah antara lain menyentuh mengenai bulan Ramadan yang merupakan penghulu sekalian bulan. Bulan yang diberkati dan bulan yang dinanti-nantikan oleh setiap mukmin yang hakiki.
Pada bulan ini, Allah SWT memberikan tawaran yang amat luar biasa kepada umat Nabi Muhammad SAW yang mana jika umat Islam merebutnya akan melayakkan mereka untuk masuk syurga Allah dan seterusnya diselamatkan daripada azab seksa neraka.
Selain berpuasa, umat Islam turut dianjurkan untuk memperbanyakkan amalan dalam bulan Ramadan seperti membaca Al-Quran, bersedekah, iktikaf di masjid dan menghidupkan malam dengan ibadah (qiyamullail).
Majlis diteruskan dengan bacaan Asma’ul-Husna oleh Penolong Pegawai Keagamaan dan Kerohanian, Awang Muhammad Hazman bin Saharin dengan diiringi oleh para Pelatih Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Pengambilan ke-12.
Bagi memberkati majlis, bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Imam Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Awang Adee Aiman bin Haji Muhidin.