Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Buli, rasis belenggu emosi anak orang asli

    Oleh Kurniawati Kamarudin & Sakini Mohd Said

    GUA MUSANG – Apabila abangnya Yahya Ferdy (bukan nama sebenar) memperolehi keputusan cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Farkra Ferdy (bukan nama sebenar), 15, sudah menanam cita-cita mahu juga berjaya seperti itu dan hatinya berbunga-bunga apabila dapat ke sebuah sekolah arus perdana di daerah ini.

    Kegembiraan ini turut dikongsi ayah dan ibunya, Ferdy Along (bukan nama sebenar), 46, Amek Alung (bukan nama sebenar), 41, berketurunan Orang Asli suku kaum Temiar.

    Namun keceriaan Farkra tidak berpanjangan dan ini dapat dilihat sendiri oleh ayah dan ibunya kerana setiap kali anak kesayangannya itu pulang dari asrama, wajahnya suram dan lebih suka memencilkan diri.

    Susah hati dan bingung keduanya melihat perubahan sikap anaknya itu berbanding ketika awal mendaftarkan diri di sekolah berkenaan selepas setahun tidak dapat ke sekolah akibat COVID-19. Farkra hanya dapat memasuki sesi persekolahan secara bersemuka pada Tingkatan Dua.

    “Dia nak jadi macam abang dia Yahya, dapat 6A SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan dia memang jenis suka membaca bila ada masa lapang. Tetapi sejak masuk sekolah menengah, kami perhatikan dia suka menyendiri, tidak selera makan, kadang-kadang menangis dan tidak mahu balik asrama selepas habis cuti sekolah,” kata Ferdy yang menambah, anaknya itu semasa bersekolah rendah tinggal di asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Lah yang terletak sekitar 21 kilometer dari rumah mereka di Kampung Kuala Wook.

    Penempatan rumah Orang Asli di Pos Simpor. – Bernama
    Jalan menuju ke perkampungan masyarakat Orang Asli daripada suku Temiar di Pos Simpor adalah antara penempatan masyarakat Orang Asli paling jauh di pedalaman di Semenanjung Malaysia. – Bernama
    Farkra Ferdy (bukan nama sebenar), 15, (dua, kiri) yang menjadi mangsa buli di sekolah tekun mengulang kaji pelajaran bersama kakak dan rakan-rakannya. – Bernama
    Kanak-kanak di perkampungan Orang Asli suku Temiar, Pos Simpor. – Bernama   

    Menjadi mangsa buli, itulah sebenarnya punca perubahan sikap Farkra, anak ke-12 daripada 13 beradik.

    Perkara ini hanya dapat dirungkai Ferdy setelah hampir setahun anaknya berkelakuan pelik, yang mungkin turut menggigit perasaan anak-anak Orang Asli lain, hanya kerana darah keturunan yang berbeza.

    Salahkah kami anak orang asli?

    “Waktu sekolah rendah, semua anak Orang Asli, jadi tidak ada masalah tetapi apabila Farkra ke sekolah menengah, ada yang memanggilnya, jakun, sakai, rupa buruk macam Negro, busuk walaupun sudah berpakaian kemas dan wangi dan paling teruk bila ada mengatakan Orang Asli buat sekolah jadi kotor. 

    “Ejekan itu berlaku setiap masa. Dia juga pernah kena tumbuk, bajunya dibuang dari tingkat atas, dipaksa basuh tandas. Buli itu membuatkan dia malu dilahirkan sebagai anak Orang Asli dan mahu berhenti sekolah, tidak mahu kejar cita-cita jadi cikgu pedalaman,” kata Ferdy kepada penulis. 

    Terletak kira-kira 52km dari bandar Gua Musang, Kampung Kuala Wook yang mempunyai lebih daripada 300 penduduk merupakan antara penempatan Orang Asli di pedalaman Semenanjung Malaysia dan tidak boleh ditemui di Google Maps, selain hanya boleh diakses melalui jalan balak dan udara. 

    Selain faktor geografi, keadaan jalan balak yang berlopak dan bahaya menyebabkan anak-anak daripada kampung ini ditempatkan di asrama SK Kuala Lah seawal Tahun Satu kerana paling hampir dengan penempatan mereka dengan jarak sekitar 21km.

    Menurut Ferdy yang juga wakil jurucakap Kampung Kuala Wook, buat masa ini terdapat lebih daripada 20 pelajar dari kampung itu yang melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah arus perdana dan ada antaranya turut sama menjadi mangsa buli dan diskriminasi seperti dialami Farkra. 

    Walaupun sedih melihat impak buli ke atas anaknya itu, Ferdy bersama isteri tidak mahu berputus asa dan sentiasa memujuk, memberi semangat serta motivasi supaya Farkra kekal komited dan mencapai impian sebagai guru.  

    Wajar perhatian serius

    Hampir setiap pertemuan dengan wakil kampung atau pos masyarakat Orang Asli negeri ini, Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along, 35, menerima aduan yang sama iaitu insiden buli dan sikap rasis kaum lain terhadap golongan minoriti itu.

    Situasi tidak sihat itu wajar diberi perhatian serius dan ditangani segera memandangkan ia sudah lama berakar umbi dalam kehidupan masyarakat Orang Asli selain menyumbang kepada keciciran pendidikan anak-anak mereka.

    “Masyarakat kami sering menjadi sasaran buli kerana dianggap lemah dan kumpulan minoriti apabila berada di sekolah arus perdana.

    Kami juga dapati alasan anak dibuli adalah disebabkan faktor bahasa, fizikal serta kemiskinan dihadapi. 

    “Ada melihat Orang Asli mudah dibuli kerana sikap kami yang pemalu, pendiam. Orang Asli apabila berada di persekitaran asing, tidak pernah dirasai kerana sebelum ini di pedalaman, pergaulan hanya sesama mereka, membuatkan anak-anak ini ambil masa mengenali dunia luar,” katanya. 

    Hakikatnya, isu buli serta diskriminasi terhadap anak Orang Asli bukan hanya di negeri Pantai Timur bahkan turut menular di kebanyakan penempatan masyarakat ini di Semenanjung yang biasanya di sekolah arus perdana berikutan minoriti mereka.

    Perkara ini dikongsi bekas senator mewakili masyarakat Orang Asli, Datuk Isa Abdul Hamid.

    Menurut beliau, isu buli sekolah arus perdana agak serius bagi kumpulan minoriti Orang Asli Negrito seperti di pedalaman Kelantan dan Terengganu dan biasanya serangan rasis ini lebih kepada bentuk lisan, psikologi berbanding fizikal. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...