Penyanyi Bunga Isme akhirnya mengakui sudah mendirikan rumah tangga dengan vokalis kumpulan Razqa iaitu Amzar Sabri pada tahun lalu.
Enggan berkongsi lanjut mengenai perkahwinan mereka, Bunga atau Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari, 24, menganggap pernikahannya itu adalah ketentuan dan rezeki selepas dia menamatkan pengajian di universiti.
“Alhamdulilah kami sudah berbincang tentang hal ini (berkahwin) dan semua urusan dipermudahkan.
“Pernikahan kami sudah pun berlangsung pada tahun lalu.
“Saya cuma hanya boleh cakap, selepas selesai belajar, rezeki (pernikahan) itu datang lebih awal,” katanya kepada mStar.
Bunga berkongsi perkara itu menerusi sidang media Majlis Pelancaran Warner Music Festival yang diadakan di Mont Kiara, Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam pada itu, Bunga berkata dia sendiri tidak menyangka bakal berkahwin di usia muda.
Memandangkan dia dan suami sudah lama berkawan, mereka sepakat untuk menghormati permintaan kedua belah keluarga untuk mengakhiri hubungan tersebut dengan pernikahan.
“Saya pun tidak menjangkakannya tetapi saya menghormati keputusan kedua-dua belah keluarga.
“Lagi pun kami sudah berkawan sangat lama dan kerana itu bersetuju untuk mengakhiri hubungan ini dengan perkahwinan.
“Sebenarnya kami mahu bersederhana sahaja, lebih senang dan tenang untuk menjalani kehidupan seterusnya. Majlis pula diraikan bersama keluarga dan sahabat terdekat sahaja,” ujarnya.
Ditanya tentang pilihan mendirikan rumah ketika nama sedang meniti puncak kerjaya, Bunga berkata dia memandang daripada sudut positif dan percaya kepada rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Penyanyi lagu Intan Payung itu bagaimanapun berkata dia belum merancang untuk menimang cahaya mata namun tidak menolak sekiranya dikurniakan rezeki anak lebih awal. – Agensi