KUALA LUMPUR – Festival Filem Cannes ke-77 yang berlangsung di Perancis baru-baru ini, bukan sekadar mempamerkan glamour dunia hiburan menerusi penampilan selebriti terkenal, tetapi juga menyaksikan model Malaysia meninggalkan impak mereka di sana.
Bagi Dr Nisha Thayananthan, model sambilan dan peminat fesyen, berjalan di atas karpet merah acara itu buat kali kedua berturut-turut serta menonton komedi hitam Rumours bersama-sama pemenang anugerah Oscar Cate Blanchett, merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Mengenakan gaun yang diilhamkan daripada ikan duyung, doktor perubatan kelahiran Seremban dan kini menjalani latihan pembedahan plastik di sebuah hospital di Dublin, Ireland, menghadiri tayangan perdana filem itu pada 18 Mei lepas.
“Selain itu, sepanjang di sana, saya juga berpeluang melakukan pelbagai aktiviti menyeronokkan seperti melawat tempat tumpuan pelancong,” katanya kepada Bernama, menerusi WhatsApp.
Dr Nisha yang baru-baru ini diundang oleh ibu pejabat baharu Linkedln di Eropah, iaitu di Dublin, bagi menyampaikan syarahan, berkata keanggunan penampilannya pada acara karpet merah tersebut adalah hasil kerjasama pasukannya dan penaja di Perancis.
“Dari segi profesional, saya berpeluang bertemu dengan ramai usahawan semasa acara makan malam yang membolehkan saya meluaskan pengetahuan, bukan sahaja dalam bidang perubatan tetapi juga perniagaan,” tambahnya.
Mengulas tentang busana yang dipakainya, beliau berkata gaun malam itu direka oleh pereka fesyen Vietnam, Nguyen Minh Tuan.
Busana itu mengetengahkan gandingan warna hijau zamrud dengan rona biru biji kundang yang dilengkapi bayang ekor ikan, dilengkapkan dengan fabrik berjaring lut sinar.
“Elemen paling ketara pada busana itu termasuk hiasan yang kompleks, hasil gandingan kristal, batu Swarovski, mutiara dan batu permata,” jelasnya.
“Ringkasnya, reka bentuk busana itu adalah gabungan kecantikan dan keanggunan ikan duyung serta kreativiti berwawasan pereka Nyugen Minh Tuan dan pasukannya di Minh Tuan Couture,” katanya, menambah gaun itu ditampilkan di dalam pelbagai majalah antarabangsa termasuk Harper’s BAZAAR.
Ditanya bagaimana beliau mengimbangi kerjaya selaku model dan doktor bedah, Dr Nisha yang baru-baru ini ditemu bual oleh majalah Forbes edisi Perancis, berkata kejayaan seseorang dalam pelbagai bidang bergantung pada minda.
“Jika awda bekerja keras dan memberikan sepenuh jiwa dalam apa juga bidang yang awda minat, awda akan berjaya. Iltizam dan semangat adalah kunci kejayaan kepada usaha awda.
Nasihat beliau kepada mereka yang berhasrat menceburi pelbagai bidang secara serentak adalah “Jika awda ingin meneroka perkara baharu, terus lakukan. Jangan bertangguh, biarkan usaha awda menjadi bukti.
Musuh utama awda ialah terlalu memikirkan apa tanggapan orang lain terhadap diri awda.
“Percaya pada diri sendiri. Awda yang putuskan apa yang awda mampu buat, bukan orang lain.
“Buktikan kepada dunia yang awda adalah seorang pemimpin dan bebaskan diri daripada pemikiran yang mengekang,” katanya, menambah beliau sedang mengusahakan klinik estetik di Eropah. – Bernama