Aktor Malaysia, Aedy Ashraf berpuas hati apabila dapat membawa watak anak Kelantan bernama Beja dalam filem terbaharu lakonannya, Kahar: Kapla High Council.
Aedy atau nama sebenar, Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 31, berkata dia tidak pernah membawa watak dengan menggunakan dialek Kelantan sejak mula terbabit dalam industri lakonan kira-kira 24 tahun lalu.
Tambahnya, watak Beja berjaya meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya dan mengingatkan kembali kepada tempat asal dilahirkan.
“Ini adalah satu tahap kepuasan apabila ia meninggalkan kesan emosi. Sebab saya orang Kelantan dan sepanjang berlakon belum pernah lagi bawa watak dan bercakap dialek Kelantan.
“Saya pernah bawa watak yang perlu bercakap dengan dialek Perak, Sabah, Pahang, tapi Kelantan masih belum walaupun saya dilahirkan di sana.
“Jadi, bila dapat tawaran saya rasa inilah masanya untuk saya beritahu orang yang saya ini memang berasal dari Kelantan.
“Walaupun membesar tidak bercakap dalam dialek Kelantan, tapi itulah cabaran yang saya kena lalui untuk kembali semula kepada asal usul saya,” katanya ditemui pada sidang media Kahar: Kapla High Council di Setia City Mall, di sini, baru-baru ini.
Menurut laporan BH Online, pemenang trofi Aktor Filem Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36 itu memberitahu, dia membiasakan diri untuk bertutur dalam dialek Kelantan sepanjang tempoh penggambaran.
Biarpun kurang fasih untuk bertutur dalam dialek Kelantan, Aedy berkata, perkara itu tidak menjadi penghalang untuk menjiwai watak dengan baik. – Agensi