“Sama seperti pasangan lain, kami juga berdepan dugaan ketika menempuh alam pertunangan. Namun, ia sama sekali tiada kaitan dengan orang ketiga.”
Demikian penjelasan pelakon Zara Zya yang mengakui, ikatan pertunangannya dengan Hafreez Adam turut berdepan cabaran yang menguji keutuhan dan kesetiaan cinta mereka.
Zara berkata, sebelum ini, hampir dua minggu mereka ‘merajuk’ antara satu sama lain, tetapi bersyukur masalah itu tidak berlarutan dan dapat diselesaikan dengan baik.
“Tetapi, ada pula membayangkan masalah kami berpunca daripada campur tangan orang ketiga. Mungkin andaian itu timbul apabila kami jarang memuat naik gambar berdua. Bagi saya, memadai orang tahu kami sudah bertunang, selebihnya biar saya dan Hafreez simpan sendiri,” katanya.
Pasangan yang berkenalan ketika bergandingan dalam drama Monalisa pada 2017 mengikat tali pertunangan pada 12 Oktober lalu. Mereka merancang mendirikan rumah tangga pada Oktober tahun depan. Zara bagaimanapun, tidak menolak kesibukan kerja turut menjadi antara faktor mereka berselisih faham, terutama apabila jarang berjumpa.
“Memang dari dahulu, kami jarang berjumpa kerana jadual kerja padat. Bayangkan, masa untuk bersama keluarga juga terbatas. Buat masa ini, kami hanya berhubung menerusi telefon. Dalam perhubungan, kepercayaan dan saling memahami sangat penting. Apa juga masalah perlu diselesaikan dengan matang. Ia membuatkan kita lebih memahami pasangan masing-masing,” katanya. – Agensi
