Saturday, October 19, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cabaran mulakan perniagaan sendiri

    Izinkan saya untuk berkongsi luahan mengenai satu keputusan paling besar dalam hidup saya, di mana baru-baru ini saya memilih untuk berhenti kerja dan mengejar impian menjadi seorang usahawan.

    Keputusan ni bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi selepas bertahun-tahun berkhidmat dengan syarikat yang memberikan saya kestabilan kewangan. Tapi ada pula bisikan di hati ini, “Ini masanya untuk buat sesuatu yang lebih besar.”

    Saya rasa ramai antara kita pernah rasa bosan dengan kehidupan kerja yang sama setiap hari, kan? Rasa macam tak ada cabaran baharu, tak ada peluang nak berkembang. Itu yang saya rasa. Waima kerja saya stabil, dengan gaji tetap setiap bulan, saya rasa terperangkap. Ada impian lama dalam hati saya – nak mulakan perniagaan sendiri, tapi macam biasa, ketakutan untuk tinggalkan zon selesa tu yang halang saya daripada buat keputusan.

    Sampai satu hari, saya buat keputusan besar. Dengan sokongan keluarga, saya serahkan surat berhenti kerja dan mulakan bab baharu dalam hidup saya iaitu sebagai usahawan.

    Pada awalnya, rasa lega sangat. Tidak perlu lagi terikat dengan jadual kerja yang ketat, tak ada lagi tekanan nak capai sasaran untuk orang lain. Tapi, lepas beberapa bulan, saya mula sedar, dunia keusahawanan ni tak semudah yang saya bayangkan.

    Foto Canva

    Tanggungjawabnya berkali ganda, semua keputusan terletak di tangan saya. Bila tak ada gaji tetap masuk setiap bulan, mulalah rasa resah, dan masa tu, keraguan mula timbul.

    Setiap hari adalah satu perjuangan. Saya berdepan dengan cabaran yang tak pernah saya bayangkan masa masih bekerja dulu – cari pelanggan, urus kewangan perniagaan, dan pastikan perniagaan saya tak gulung tikar. Ada hari yang saya rasa nak putus asa.

    Pelanggan tak datang, modal makin kurang, tekanan makin bertambah. Ada masa saya tertanya, “Betul ke keputusan saya ni?”

    Kepada mereka yang dah ambil langkah ni, saya nak dengar kisah jatuh bangun awda.

    Macam mana awda hadapi cabaran dan ketidakpastian dalam dunia perniagaan?

    Zim PHM

    NASIHAT DANG MP

    Terima kasih kepada Zim PHM kerana berkongsi kisah seorang usahawan seperti ini. Sudah tentu, keputusan untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan sendiri memang suatu tindakan yang cukup berani.

    Awda benar, dunia keusahawanan memang penuh cabaran. Rasa terperangkap dalam zon selesa boleh membuatkan kita berasa tidak puas hati, dan kadangkala perlu mengambil risiko untuk mencari kepuasan dalam hidup.

    Salah satu nasihat yang Dang MP boleh berikan ialah cuba berkolaborasi dengan peniagaan lain terutama yang baru buka. Ini kerana kita boleh meluaskan jaringan sosial kita dan secara tidak langsung kita dapat menimba ilmu yang mungkin kita sendiri tidak pernah terfikir.

    Selain itu, cuba sertai mana-mana kelas yang mengajarkan tip tentang dunia perniagaan.

    Zim PHM mungkin perlu mengeluarkan sedikit modal tetapi percayalah ia pastinya berbaloi.

    Dang MP harap awda terus berjaya dalam perniagaan dengan tidak mudah mengaku kalah, sentiasa belajar perkara-perkara yang baharu dan cepat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan perniagaan supaya dapat merangka strategi baharu dan terus mencapai kejayaan dalam perniagaan Zim.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda