Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Cabul: Rayuan doktor ditolak

    Oleh Fadley Faisal

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Mahkamah Rayuan baru-baru ini menolak rayuan pesalah seksual terhadap sabitan dan hukumannya.

    Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong bersama Hakim Michael Peter Burrell dan Conrad Seagroatt, pada 16 November menolak permohonan Dr Matthew Tan. Peguamnya, Ahmad Basuni Abbas dari Tetuan Abrahams Davidson and Co membantah keputusan Mahkamah Majistret mengenai sabitan Dr Tan, antara lain memetik ketidakkonsistenan dan mempunyai kesilapan undang-undang.

    Responden Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fitri Kiprawi membangkitkan pelbagai perkara ketika menjawab permohonan itu. Antara lain, responden menekan-kan prinsip undang-undang yang telah ditetapkan di mana Mahkamah Rayuan tidak seharusnya mengganggu hasil dapatan fakta.

    Mahkamah Rayuan bersetuju dengan responden, menekankan prinsip itu dikekalkan ‘melainkan penemuan fakta adalah jelas salah atau jelas bertentangan dengan kesahihan bukti, terutamanya mengambil kira peluang mahkamah untuk menilai kredibiliti saksi’.

    Dr Tan dijatuhkan hukuman penjara 21 bulan kerana mengambil kesempatan ke atas rakannya dengan mencabul kehormatannya.

    Tiada hukuman sebat dikenakan ke atas Dr Tan memandangkan dia berusia lebih 50 tahun.

    Majistret Hajah Noor Amalina binti Dato Paduka Haji Alaihuddin menyabitkan Dr Tan selepas mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes di luar keraguan munasabah, terutamanya berdasarkan keterangan mangsa.

    Mahkamah juga tidak percaya versi Dr Tan selepas mendapati ketidakkonsistenan dalam pembelaannya apabila dibandingkan dengan kenyataan polis.

    Kes Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fitri binti Kiprawi terhadap Dr Tan menunjukkan dia telah menjemput mangsa berusia 49 tahun dan anak perempuannya untuk menyertainya dan rakan-rakannya bagi makan tengah hari di sebuah tempat.

    Selepas makan tengah hari, Dr Tan dan rakan-rakannya pergi ke rumah mangsa di mana mereka dihidangkan minuman.

    Tidak lama kemudian, anak perempuan mangsa pergi ke rumah neneknya, meninggalkan ibu dan tetamunya. Menjelang petang, mangsa pergi menyediakan makanan di dapur apabila rakan-rakan Dr Tan bersiap sedia untuk beredar.

    Gambar Freepik

    Semasa mereka mengucapkan selamat tinggal, mangsa kali terakhir teringat Dr Tan juga ingin meninggalkan rumah apabila dia melihatnya memberikan isyarat kepada rakan-rakannya.

    Peristiwa berikut yang diceritakan oleh mangsa adalah apabila dia sedar dan hanya teringat apa yang berlaku pada malam apabila dia dicabul. Keesokan paginya, mangsa terjaga apabila menerima mesej WhatsApp daripada Dr Tan mengatakan dia telah membawa keretanya dan akan memulangkannya menjelang tengah hari. Mangsa membalas mesej itu mengatakan dia berhasrat untuk membuat laporan polis.

    Mangsa tidak memfailkan laporan itu kerana dia tidak sihat dan takut untuk berbuat demikian selepas teringat Dr Tan mendakwa mempunyai hubungan dengan orang berpengaruh. Kejadian itu hanya terbongkar apabila mangsa berjumpa doktor dan memberitahunya.

    Doktor itu memberitahu Polis Jabatan Siasatan Jenayah tentang mangsa dan pengalaman pahitnya, mendorong siasatan dilancarkan.

    Dr Tan menafikan dakwaan mangsa dan berkata dia mungkin berhalusinasi dan bertindak bermotifkan wang, untuk menuntut pampasan daripada dakwaan tersebut.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...