Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Ahli ABAC Brunei, Dayang Hafimi binti Abdul Haadii yang merupakan Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat LVK dan Ketua Pegawai Eksekutif imagine Sdn Bhd, Dayang Suzannawati binti Haji Suharju hari ini telah menyerahkan Laporan ABAC 2022 kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Laporan itu mengandungi cadangan ABAC kepada pemimpin APEC untuk mengatasi krisis ekonomi yang belum pernah berlaku sebelum ini yang dihadapi rantau Asia-Pasifik berpunca daripada pandemik yang berterusan, konflik geopolitik, inflasi dan gangguan rantaian bekalan yang memberi kesan secara langsung kepada perniagaan.
Cadangan berkenaan akan menjadi asas perbincangan apabila mereka mengadakan pertemuan bersama para pemimpin APEC semasa dialog tahunan ABAC pada 18 November depan di Bangkok.
Matlamat pertama cadangan ABAC adalah untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi rantau dan kedua untuk mendapatkan semula momentum bagi pertumbuhan jangka panjang yang dinamik, mampan, inklusif dan berdaya tahan.
Kunci kepada pemulihan yang cepat termasuk usaha menangani inflasi, isu makanan tak terjamin, sekatan ke atas pergerakan barangan dan perkhidmatan penting untuk menangani wabak, serta membuka semula sempadan dengan selamat untuk memulihkan aktiviti ekonomi.

Demi mendapatkan semula momentum untuk pertumbuhan jangka panjang, tindakan perlu diambil untuk menangani kesan perubahan iklim, memajukan integrasi ekonomi serantau dengan menyokong sistem perdagangan berasaskan peraturan global dan mempercepatkan realisasi Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik, meningkatkan sokongan bagi MSME untuk memupuk keterangkuman, menggalakkan penggunaan teknologi digital dan meneruskan penyatuan dasar fiskal dan pembaharuan struktur.
“APEC selepas pandemik bukanlah seperti sebelumnya. Apabila APEC dibuka semula untuk perniagaan, ini juga merupakan peluang untuk mempercepat dan mengalihkan banyak aspek perdagangan serantau yang boleh mempertingkat inovasi dalam cara APEC menjalankan perniagaan rentas sempadan.
“Apa yang paling penting adalah ekonomi yang mampu mempromosikan MSME dan membawa perubahan penting kepada agenda sokongan MSME yang boleh memberi kesan dan impak yang mendalam sekali gus membantu mereka bertahan dan berkembang maju,” jelas Dayang Hafimi.
Sementara itu, Dayang Suzannawati menambah, “Cadangan tersebut menyatakan keperluan untuk kita bertindak bersama-sama dalam memastikan kita memulihkan aktiviti ekonomi yang mempromosi pertumbuhan mampan, dinamik, inklusif, dan berdaya tahan.
“Pandemik telah menunjukkan kepada kita tentang kepentingan penggunaan digital merentas semua perniagaan termasuk MSME.
“Kita memainkan peranan untuk memastikan aksesibiliti dan penglibatan semua orang untuk memanfaatkan peluang ini,” tambahnya.

