Penyanyi Indonesia, Cakra Khan, 31, akur apabila gagal layak ke separuh akhir program pencarian bakat, America’s Got Talent (AGT) 2023.
Cakra atau nama sebenarnya Cakra Konta Paryaman memaklumkan perkembangan terbaru statusnya dalam program realiti itu melalui Twitter.
“Lihat di Instagram AGT, nampaknya nama saya tidak masuk dalam senarai. Maaf ya,” tulisnya.
Penyanyi lagu Kekasih Bayangan itu bagaimanapun tidak patah semangat dan bersyukur sempat merasai pengalaman berada atas pentas program berprestij dunia itu.
Cakra juga memohon sokongan ramai terhadap rakan penyanyi senegaranya, Putri Ariani yang masih berjuang dalam program itu.
“Mungkin saya harus melakukan lebih banyak latihan. Teruskan mara ke hadapan. Sekarang sama-sama kita beri sokongan kepada Putri Ariani,” katanya.
Putri Ariani tersenarai sebagai wajib mara selepas diberikan Golden Buzzer oleh juri terkenal, Simon Cowell.
Pusingan seterusnya program itu bakal dilangsungkan dalam masa terdekat. – Agensi