Sunday, March 16, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    California diancam kebakaran hutan

    SANTA MARIA, California, 9 Julai – Dua kebakaran hutan di California telah merebak dengan cepat, mengancam beratus buah rumah dan memaksa pemindahan di tapak kem tasik yang popular dan kem musim panas di mana api buat sementara waktu telah memerangkap kanak-kanak dan kaunselor, kata pegawai bomba.

    Di kawasan lain di Barat, arahan pemindahan dibatalkan di bandar Colorado dan Montana yang diancam oleh kebakaran hutan, sementara krew udara dan darat bergelut dengan kebakaran rumput yang meningkat di kawasan barat laut Colorado.

    Kebakaran yang bermula pada awal petang semalam di Daerah Santa Barbara, California telah merebak ke kedua-dua kawasan Lebih Raya 154 dan “tidak dapat dikawal,” kata Kapten Dave Zaniboni. Kira-kira 90 kanak-kanak dan 50 kaunselor terperangkap di Circle V Ranch dan terpaksa berlindung di sana sehingga mereka dapat dipindah dengan selamat.

    Kebakaran Daerah Santa Barbara adalah satu daripada tiga di Caliofrnia yang merebak dengan cepat apabila kebanyakan kawasan di negeri itu mengalami suhu panas yang memecah rekod. Satu rekod yang bertahan 131 tahun di Los Angeles dipecahkan apabila suhu meningkat pada 98 darjah di pusat bandar. Rekod sebelumnya sebanyak 95 darjah dicatat pada 1886, kata Perkhidmatan Cuaca Nasional.

    Anggota bomba memadam kebakaran hutan yang mengancam membakar kawasan jalan berhampiran Oroville, California. Angin waktu malam mengakibatkan kebakaran merebak dengan cepat, memusnahkan apa sahaja dalam laluannya. – AP
    Anggota bomba memadam kebakaran hutan yang mengancam membakar kawasan jalan berhampiran Oroville, California. Angin waktu malam mengakibatkan kebakaran merebak dengan cepat, memusnahkan apa sahaja dalam laluannya. – AP

    Suhu yang berlebihan menyebabkan penduduk California Selatan mengerumuni pantai dan mencari air, tempat berteduh dan penyaman udara untuk melepaskan diri daripada suhu panas berkenaan.

    Ahli kaji cuaca mengingatkan suhu tiga digit sehingga 110 darjah akan menjadi perkara biasa di sesetengah kawasan pedalaman yang mungkin membawa maut kepada orang tua, kanak-kanak dan pekerja luar. Kualiti udara mencecah paras tidak sihat dan amat tidak sihat di kawasan pedalaman dari Los Angeles.

    Suhu tinggi dan angin kering menambah tiga kali ganda saiz kebakaran hutan Santa Barbara kepada hampir 30 batu persegi dalam masa lapan jam dan memaksa pengosongan kira-kira 200 rumah di kawasan luar bandar di timur Santa Maria, kata jurucakap bomba Kirk Sturm. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda