LONDON, 31 DIS – Pemain pertahanan Manchester City Joao Cancelo berkata dia mengalami kecederaan muka apabila diserang oleh sekumpulan perompak yang ‘cuba mencederakan’ keluarganya.
Pemain antarabangsa Portugal itu menyiar gambar di Instagram pada petang semalam, yang menunjukkan luka di atas mata kanannya.
Pemain berusia 27 tahun itu tidak berkata di mana serangan berlaku, tetapi City berkata dalam satu kenyataan kecederaan dialami semasa satu rompakan di rumah pemain.
“Malangnya hari ini saya diserang oleh empat perompak yang mencederakan saya dan cuba mencederakan keluarga saya,” kata Cancelo.
“Apabila awda melawan, inilah yang berlaku. Mereka berjaya mengambil kesemua barang kemas saya dan meninggalkan saya dengan keadaan muka ini.” Cancelo menambah: “Saya tidak tahu terdapatnya orang yang sungguh jahat.
“Perkara paling penting bagi saya adalah keluarga dan nasib baik mereka semua berada dalam keadaan baik.” – AFP
