Oleh Nurdiyanah R. –
Berasal daripada famili Cactaceae, kaktus sememangnya sinonim sebagai tumbuhan berduri yang berfungsi membantu mencegah kehilangan air di habitat bercuaca kering.
Tumbuhan primitif yang mengalami evolusi ini mempunyai penggemar tersendiri lebih-lebih lagi dengan keunikan ciri fizikal dan penjagaannya yang dikategorikan cukup mudah.
Terdapat pelbagai jenis kaktus di dunia walaupun dari segi ciri-ciri hampir dikatakan berkongsi yang sama atau hampir sama seperti berduri, batang berair, hidup di kawasan berpasir dan kering dan menerima 100 peratus pancaran cahaya matahari.
Namun terdapat juga kategori kaktus tidak mempunyai ciri berduri, yang dipanggil sukulen dan kian popular sebagai pilihan flora hiasan bagi kediaman, pejabat mahupun ruang-ruang tertentu.
Umum diketahui kaktus telah menjadi salah satu tumbuhan penyeri taman dan juga hiasan dalaman rumah yang semakin diminati kini. Selain penjagaannya yang mudah, bentuk fizikalnya yang unik dan kesegaran rona hijau pada tumbuhan itu sering kali memikat pandangan.
Tidak hairanlah, bagi para pencinta dunia flora ini pastinya akan menjadikan kaktus sebagai aksesori hiasan semula jadi untuk memperindah lagi ruang rumah atau halaman.
Dalam membuat tinjauan mengenai tanaman kaktus, penulis terpesona dengan kecantikan tanaman yang tersusun rapi di salah sebuah gerai jualan bunga-bungaan di sekitar Kampung Jerudong baru-baru ini.
Berkesempatan ditemui penulis, salah seorang pencinta kaktus yang lebih senang disapa Dayang Intan berkata dalam penjagaan tanaman kaktus tidaklah begitu sukar seperti jenis bunga-bungaan yang lain yang memerlukan penjagaan yang begitu kompleks.
JANGKA HAYAT CECAH PULUHAN TAHUN
Apabila diajukan soalan mengenai teknik terbaik menjaga tanaman kaktus, Dayang Intan menekankan bahawa bagi seseorang yang ingin memiliki tanaman kaktus yang membesar dengan baik perlulah bermula dengan teknik penanaman yang betul.
Bahan-bahan asas yang diperlukan ialah tanah organik serta batu-batu kecil dan pasu kecil.
“Perlu diketahui kebiasaannya proses semaian kaktus itu mengambil masa sekitar dua bulan hingga tiga bulan untuk mendapatkan akar yang mantap bagi tumbesaran yang baik,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Dayang Intan turut menambah pada peringkat awal, kaktus yang baru disemai mestilah diletakkan di tempat yang tidak terdedah kepada pancaran cahaya matahari yang berlebihan dan tidak boleh disiram dalam tempoh seminggu hingga dua minggu agar memudahkan proses semaian berjalan dengan baik.
Namun apabila kaktus semakin membesar sebaik-baiknya disiram tiga kali seminggu dengan kuantiti air yang sederhana atau seminggu sekali dengan kadar air yang banyak.
Ujarnya lagi, penggunaan tanah biasa perlu dielakkan. Ini kerana dikhuatiri kaktus akan membesar dengan tanah yang padat dan apabila disiram air akan menjadikan tanah tersebut mengalami kelembapan berlebihan maka akan menyebabkan kaktus tersebut tidak tahan lama.
“Untuk mengekalkan penjagaan kaktus agar tahan lama pula, penggunaan baja berasaskan bahan organik atau semula jadi seperti baja tahi ayam amat disarankan dan elakkan menggunakan baja berasaskan kimia.
Apa yang menariknya tanaman kaktus ini memiliki jangka hayat yang boleh mencecah sehingga 20 tahun atau lebih dengan izinNya jua,” jelas beliau lagi.
TIMBULNYA ‘BIBIT-BIBIT CINTA’
Wanita berusia dalam lingkungan 40an dan menjalankan tanaman bunga-bungaan sejak tahun 2019 ini turut berkongsi ‘bibit-bibit cinta’ mula timbul sejak meminati koleksi tanaman kaktus daripada rakan-rakan yang mempunyai minat yang serupa melalui aplikasi WhatsApp.
“Dari itu saya mula mengumpul pelbagai jenis tanaman bunga-bungaan termasuk kaktus dan sukulen.
Kini saya memiliki lebih 50 jenis tanaman kaktus dan juga sukulen di persekitaran kediaman saya,” tambahnya.
Antara jenis kaktus yang dimiliki oleh Dayang Intan ialah Gymnocalycium mihanovichii atau Moon Cactus, Mammillaria, Hedgehog cacti dan Blue Myrtle-Cactus yang mana kebanyakan benih-benih kaktus tersebut diperoleh dari luar negara seperti Malaysia dan Thailand.