Monday, May 12, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cari keredaan Allah SWT

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Dalam kehidupan ada empat reda Allah SWT yang dicari iaitu reda Allah sebagai tuhan kita, Islam sebagai agama dan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul kepada Allah.

    Sementara yang kedua pula, reda kepada ibu bapa seterusnya yang ketiga, reda suami kepada isteri dan keempat adalah reda ketika transaksi jual beli.

    Perkara itu dijelaskan oleh Imam Besar Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan, Pahang, Malaysia, Dato Haji Badli Shah bin Haji Alauddin semasa menyampaikan ceramah khas bertajuk ‘Mencari Reda Allah’ di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar, hari ini, yang juga boleh diikuti secara langsung menerusi platform Facebook masjid berkenaan.

    Antara yang hadir pada majlis itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong selaku penaung Jawatankuasa Takmir MRSB; Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin juga selaku penaung ahli Jawatankuasa Takmir MRSB.

    Pada ceramah itu, Dato Haji Badli Shah seterusnya menjelaskan, satu ketaatan kepada Allah, harganya melambung di sisi Allah dan jika ia dilakukan dengan niat untuk mencari redaNya.

    “Allah akan cemburu apabila ibadat yang dilakukan tidak dilaksanakan untuk mencari redaNya,” jelas beliau.

    Beliau seterusnya menekankan, Allah sangat benci bila ditipu, jika sembahyang yang dilakukan bukan kerana Allah tapi kerana makhluk dan jika memberi sedekah bukan kerana Allah tapi kerana hendak mencari nama dan jika pergi haji bukan kerana ibadah tetapi hendak mencari pujian. Sehubungan itu, beliau menyeru untuk melahirkan keikhlasan dalam beribadah.

    Turut hadir pada ceramah itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah serta ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid yang lain.

    Dato Haji Badli Shah berada di negara ini untuk membentangkan kertas kerja bagi acara Seminar Pendidikan Vaksin Ketuhanan dan SOP Agama yang dianjurkan oleh Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

    Menteri-menteri kabinet yang hadir mendengarkan ceramah khas di MRSB, kelmarin.
    Dato Haji Badli Shah semasa menyampaikan ceramah pada majlis itu.
    Antara yang hadir mendengarkan ceramah khas yang disampaikan oleh Dato Haji Badli Shah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda