Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MAC – Ramadan dalam erti kata lain ialah ‘kering kontang bumi’ disebabkan oleh cuaca yang terlalu panas dan dikatakan juga, Ramadan diambil daripada maksud kering seseorang disebabkan panasnya perut kerana dahaga daripada berpuasa.
Beberapa orang ulama ada menyebutkan, kenapa ia digelar bulan Ramadan, kerana pada bulan ini dosa orang-orang beriman itu kering ataupun kosong kerana mendapat keampunan daripada Allah SWT sesuai dengan Ramadan adalah bulan yang maghfirah.
Penjelasan mengenai makna Ramadan itu dibuat oleh Dekan Fakulti Syariah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakbar semasa ceramah Menghayati Kenikmatan Ramadan 2023 di Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong hari ini.
Dr Haji Noralizam juga berkata, walaupun Ramadan berada dalam kedudukan yang kesembilan dalam susunan bulan Islam, namun ia bulan yang paling banyak fadilatnya dan juga disebutkan sebagai penghulu bagi segala bulan.
Nabi Muhammad SAW menggelar Ramadan sebagai bulan yang azim dan mubarak iaitu bulan agung, hebat dan diberkati.
Dr Haji Noralizam juga turut menyentuh mengenai ancaman kepada orang yang mensia-siakan Ramadan dan banyak lagi.
Bulan Ramadan, tambah beliau, adalah bulan maghfirah (keampunan), bulan di mana hamba-hamba Allah berusaha mencari keampunan Allah dengan melakukan amalan-amalan dalam bulan Ramadan.
“Jadi rebutlah peluang di bulan Ramadan untuk mencari reda Allah, rahmat Allah, keampunan Allah kerana di bulan Ramadan terdapat berbagai cara dan peluang yang mudah untuk memperolehi keampunan Allah SWT,” seru beliau.
