BARCELONA, 26 APRIL – Penyerang Girona, Taty Castellanos muncul pemain pertama yang menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan menentang Real Madrid sejak 1947 bagi membantu skuadnya melakar kemenangan 4-2 dalam saingan La Liga kelmarin.
Penyerang itu mempamerkan ketajaman penyudah untuk mengejutkan juara bertahan yang dilihat semakin sukar untuk mempertahankan gelaran daripada dirampas pencabar utama Barcelona.
Castellanos yang dipinjam daripada kelab MLS New York City FC meledak dua gol pada kedua-dua babak perlawanan bagi memastikan kemenangan sensasi ke atas skuad Carlo Ancelotti.

Girona dan New York City adalah kelab ‘angkat’ Manchester City yang bakal berdepan Real Madrid pada separuh akhir Liga Juara-Juara Mei depan.
Pemain terakhir meledak empat gol ketika menentang Madrid dalam aksi La Liga ialah pemain Real Oviedo, Esteban Echavarria pada 1947 walaupun penyerang Barcelona, Robert Lewandowski pernah melakukannya dalam saingan Liga Juara-Juara ketika beraksi bersama Borussia Dortmund pada 2013.
“Ia bagaikan mimpi, kami bermain dengan baik menentang salah satu pasukan handalan dunia. Saya tak pernah terfikir ia boleh berlaku. Saya ingin nikmatinya bersama penyokong, keluarga dan rakyat di Argentina. Mereka sentiasa menyokong saya dan ia amat berharga,” kata Castellanos.
Penyerang Argentina itu memenangi Anugerah Bola Emas MLS 2021 selepas meledak 19 gol dalam 32 perlawanan tetapi masih belum pernah menyarung jersi pasukan negaranya. – AFP