KOTA KINABALU, 16 JULAI – Industri pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) menawarkan prospek yang cerah selain boleh memberi manfaat ekonomi yang ketara kepada Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, bersetuju dengan pandangan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bahawa Sabah antara empat negeri yang berpotensi menjadi peneraju dalam industri berkenaan.
Malah, katanya potensi faedah ekonomi daripada projek berimpak tinggi itu tidak boleh dinafikan dan boleh menyumbang dengan ketara kepada pembangunan dan kewangan negeri.
Namun, pada masa sama, beliau menekankan kepentingan pengawalseliaan dan pelaksanaan aktiviti CCUS di Sabah yang perlu berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri Sabah.
“Penting bagi kita (kerajaan negeri Sabah) mempunyai kuasa untuk mengawal selia dan menguruskan aktiviti ini bagi memastikan ia sejajar dengan keperluan dan keutamaan khusus negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada Ahad lepas, Rafizi berkata kerajaan telah mengenal pasti Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak sebagai peneraju berpotensi dalam industri CCUS kerana empat negeri itu telah menyahaktifkan telaga minyak dan kemudahan terminal sedia ada yang sesuai untuk aktiviti CCUS.
Menjelaskan selanjutnya, Kitingan berkata langkah mengawal industri CCUS membolehkan Sabah memastikan manfaat ekonomi daripadanya menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan rakyat, selain mewujudkan rangka kerja kawal selia yang kukuh bersesuaian dengan konteks alam sekitar dan ekonomi negeri serta menarik pelaburan tempatan dan antarabangsa.
Selain itu katanya, kredit karbon yang dijana melalui projek CCUS yang berjaya, dapat menyuntik aliran pendapatan baharu yang ketara, seterusnya meningkatkan kemampuan dan kemampanan kewangan Sabah. – Bernama