Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cef Naem buka kafe bantu sahabat

    Tidak sanggup melihat nasib dua rakan lamanya dibuang kerja, Cef Naem membuka sebuah kafe, Ngam Cafe untuk membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup.

    Naem berkata, kafe yang terletak di Taman Sri Gombak, Selangor itu dibuka secara kecil-kecilan pada Februari lalu.

    “Saya mengenali dua sahabat ini ketika kami sama-sama berkhidmat sebagai cef di sebuah hotel di ibu kota pada 2015.

    “Saya membuka kafe ini sebab nak tolong mereka yang dibuang kerja kerana sektor perhotelan terjejas teruk sepanjang penularan wabak Covid-19.

    “Walaupun Ngam Cafe dibuka secara kecil-kecilan dengan bermodalkan sedikit wang poket yang ada dan hanya mampu menaikkan ‘banner’ terlebih dulu, tapi sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung,” katanya.

    Menurut Naem, selain mengusahakan kafe terbabit, dia juga masih bekerja sebagai penghantar makanan bagi menambah pendapatannya selain menampung pembayaran gaji dua sahabatnya itu.

    “Kalau nak cakap mengenai susah, memang susah dalam keadaan sekarang ini. Tapi rezeki takkan datang kalau kita baring sambil berdoa. Kita perlu berusaha baru rezeki itu datang.

    “Saya tak malu cakap yang saya masih bekerja sebagai penghantar makanan untuk menampung gaji dua rakan dan komitmen kedai. Saya percaya rezeki akan selalu ada untuk orang yang tak mudah putus asa dalam hidup.

    “Alhamdulillah kafe semakin hari semakin dikenali. Saya memang fokus dengan perniagaan ini sekarang sebab sudah lebih setahun tidak menjalani penggambaran,” katanya. – Agensi

    Cef Naem membuka sebuah kafe, Ngam Cafe untuk membantu dua sahabatnya. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda