Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cegah buli di sekolah

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Isu buli dalam kalangan pelajar di sekolah tidak pernah berkurang, bahkan semakin merisaukan banyak pihak.

    Sehubungan itu, daripada perspektif Kementerian Kesihatan, beberapa langkah utama telah dikenal pasti untuk meningkatkan pengetahuan pelajar mengenai isu buli dan seterusnya mencegah daripada berlaku di sekolah-sekolah.

    “Antara langkahnya adalah dengan mempelbagaikan kaedah penyampaian tentang isu buli kepada pelajar-pelajar, guru di sekolah-sekolah mahupun masyarakat,” ujar Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Majlis, hari ini.

    Selain itu, topik bebas buli juga perlu diterapkan ke dalam Kurikulum Pendidikan Kebangsaan seawal Tahun 4, katanya semasa menjawab soalan Yang Berhormat Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin mengenai kejadian buli di sekolah yang diutarakan kelmarin.

    Seperti yang semua maklum isu buli berkait rapat dengan kesihatan mental, oleh itu, Yang Berhormat Dato menyatakan Program School Outreach yang diperkenalkan sejak tahun 2018 menerusi Pusat Promosi Kesihatan, khususnya Unit Strategi Kesihatan Mental telah berjaya menjalankan Bengkel Program Brunei Bebas Buli di hampir 50 buah sekolah rendah dan menengah seluruh negara.

    Sebelum tercetusnya gelombang COVID-19, Unit Strategi Kesihatan Mental, Pusat Promosi Kesihatan juga banyak bekerjasama dengan guru-guru kaunselor di sekolah kerajaan mahupun swasta, sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun menengah, dalam mengungkayahkan Sambutan Hari Brunei Bebas Buli di sekolah-sekolah.

    Walau bagaimanapun, hanya dua sesi bengkel berjaya dijalankan bagi kluster 1-3 sebelum negara berdepan dengan gelombang kedua pada awal bulan Ogos 2022.

    Selain itu, taklimat-taklimat dan ceramah berkaitan Program Brunei Bebas Buli juga diadakan secara ad-hoc dan atas jemputan dari sekolah rendah dan menengah, sekolah ugama serta institusi pengajian tinggi di keempat-empat daerah.

    Menurutnya lagi, dengan tertubuhnya Talian Harapan dan Talian Anak 121, ia sekurang-kurangnya dapat membantu menangani kanak-kanak yang mengalami masalah buli ataupun masalah mental.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa mengongsikan mengenai langkah mencegah buli di sekolah. – Gambar Bahyiah Bakir
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda