SANTIAGO, 3 DIS – Chile melancarkan pakej perangsang berjumlah AS$5.5 bilion selepas data menunjukkan ekonominya mengecut 3.4 peratus pada Oktober, kemerosotan terbesar dalam satu dekad, tatkala pergolakan sosial masih berterusan.
Pakej yang dilancarkan oleh Menteri Kewangan Ignacio Briones semalam termasuk merangsang perbelanjaan awam 2020 sebanyak AS$3.03 bilion, untuk menyokong perniagaan kecil, sederhana dan besar.
Sejumlah AS$525 juta lagi diperuntukkan untuk inisiatif lain seperti pembaharuan sistem metro di Santiago, yang telah mengalami kerosakan serius sejak bantahan tercetus pada 18 Oktober.
“Anggaran menunjukkan agenda ini akan mewujudkan 100,000 pekerjaan baharu pada tahun depan,” kata Briones. Namun langkah tersebut akan bermakna pertambahan dalam perbelanjaan awam pada tahun depan sebanyak 9.8 peratus berbanding 2019, mendesak defisit fiskal naik kepada 4.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar. – AFP
