Sunday, March 16, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    China bakal bina stesen kuasa suria di angkasa lepas

    XIAMEN, 2 DIS – China merancang untuk membina sebuah stesen kuasa suria dengan kapasiti 200 tan megawatt yang berpangkalan di angkasa lepas menjelang 2035, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan Akademi Teknologi Angkasa Lepas China (CAST).

    Stesen itu akan memerangkap tenaga suria yang tidak pernah sampai ke bumi, kata Wang Li, seorang felo penyelidik program itu ketika menghadiri Forum Kejuruteraan China-Rusia Keenam minggu lepas di Xiamen, yang terletak di tenggara Wilayah Fujian.

    Tenaga itu ditukar kepada gelombang mikro atau laser sebelum dipancarkan kembali ke permukaan bumi tanpa wayar untuk kegunaan manusia, kata Wang.

    “Kami berharap untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa serta membuat pene-muan saintifik dan teknologi agar manusia boleh mencapai impian tenaga bersih tanpa had lebih awal,” katanya.

    Berbanding tenaga fosil tradisional, yang semakin kehabisan dan bertanggungjawab terhadap isu-isu alam sekitar yang teruk, kuasa suria yang berpangkalan di angkasa lepas lebih cekap dan mampan selain menyediakan penyelesaian bekalan kuasa yang boleh diharap bagi satelit dan kawasan yang dilanda bencana atau kawasan terpencil di bumi, kata Wang.

    Konsep mengumpulkan tenaga suria di angkasa lepas telah dipopularkan oleh pengarang fiksyen sains Isaac Asimov pada 1941. China telah mencadangkan pelbagai penyelesaian pengumpulan cahaya matahari dan membuat beberapa penemuan utama dalam transmisi tenaga tanpa wayar sejak negara itu menyenaraikan kuasa suria berpangkalan di angkasa lepas sebagai program penyelidikan utama pada 2008.

    Dengan pelaburan sebanyak 200 juta yuan, China sedang membina sebuah pangkalan ujian di Bishan, yang terletak di barat daya perbandaran Chongqing, bagi penyelidikan transmisi tanpa wayar berkuasa tinggi dan kesannya kepada alam sekitar. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda