BEIJING, 4 OKT — China dijangka melancarkan kapal angkasa lepas Shenzhou-19 serta menyambut kepulangan kru Shenzhou-18 ke Bumi pada penghujung Oktober ini, menurut Agensi Angkasa Lepas China, CMSA.
Berdasarkan pelan misi Oktober yang dikeluarkan agensi berkenaan minggu ini, kru Shenzhou-18 yang kini berada di stesen angkasa Tiangong dijangka menamatkan misi angkasa selama enam bulan bulan ini dan bersiap sedia untuk kembali ke Bumi.
Kru Shenzhou-18 terdiri daripada tiga taikonaut lelaki — Ye Guangfu, Li Cong, dan Li Guangsu — yang dilancarkan ke angkasa pada 25 April lalu.
Semasa cuti Minggu Emas Hari Kebangsaan, kru Shenzhou-18 tetap mengekalkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan, walaupun mereka sibuk dengan beban kerja yang berat, termasuk menjalankan eksperimen saintifik, pengumpulan data, serta persiapan untuk menyambut ketibaan kru baharu dan kerja penyerahan tugas.
Menurut rakaman yang dikeluarkan oleh China Media Group baru-baru ini, tiga taikonaut Shenzhou-18 menzahirkan kegembiraan mereka untuk ‘pertemuan semula’ yang bakal berlangsung di stesen angkasa tersebut. Mereka turut menyatakan bahawa mereka akan membersihkan ‘bilik,’ menyediakan ‘hidangan pertemuan’, serta memastikan kru baharu ‘berasa seperti di rumah’. – Xinhua