Saturday, May 4, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    China hantar angkasawan baharu ke stesen angkasa Tiangong

    JIUQUAN, 24 APRIL – China akan menghantar angkasawan baharu ke stesen angkasa Tiangong pada petang Khamis, menurut pengumuman dari Agensi Angkasa Lepas Beijing, misi terbaharu dalam program bertujuan menghantar angkasawan ke Bulan menjelang 2030.

    Misi Shenzhou-18 yang disertai tiga angkasawan, dijadualkan berlepas pada 8:59 malam Khamis waktu tempatan dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di China, umum Beijing hari ini.

    Ia akan diketuai Ye Guangfu, seorang juruterbang pejuang dan angkasawan yang sebelum ini merupakan sebahagian daripada anak kapal Shenzhou-13 pada 2021 dan dua lagi angkasawan, Li Cong dan Li Guangsu, yang pertama kali menuju ke angkasa lepas.

    Pada sidang media hari ini, Komander Ye menyifatkan pelancaran itu sebagai ‘permulaan baharu’.

    Kumpulan terbaharu angkasawan Tiangong akan berada di orbit selama enam bulan, menjalankan eksperimen dalam graviti dan fizik serta dalam sains hayat.

    Mereka juga akan melaksanakan “projek pengesanan gas rumah hijau global resolusi tinggi,” kata Timbalan Ketua Pengarah CMSA, Lin Xiqiang, menurut agensi berita negara Xinhua. Tiangong adalah program angkasa lepas yang telah mendaratkan perayau robotik di Marikh dan Bulan, dan menjadikan China negara ketiga yang secara bebas meletakkan manusia di orbit.

    Ia sentiasa beroperasi dengan pasukan tiga angkasawan yang bersilih ganti, dengan pembinaannya telah siap pada 2022.

    Tiangong dijangka kekal di orbit Bumi yang rendah di antara 400 dan 450 kilometer di atas planet selama sekurang-kurangnya 10 tahun. Kru baharu ini akan menggantikan pasukan Shenzhou-17, yang telah dihantar ke stesen itu Oktober lalu. – AFP

    Tiga angkasawan yang bakal menyertai misi angkasa lepas Shenzhou-18, Li Guangsu (kiri), Ye Guangfu (tengah) dan Li Cong semasa menghadiri sidang akhbar di Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di padang pasir Gobi, China pada 24 April. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...