Saturday, September 28, 2024
30.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    China, Jepun dan Korea setuju salur kepakaran tenaga di ASEAN

    VIENTIANE, 27 SEPT – China, Jepun dan Korea Selatan bersetuju untuk menyalurkan kepakaran teknikal kepada ASEAN bagi memperkasa pembangunan sektor tenaga boleh baharu (TBB) dan tenaga bersih.

    Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ketiga-tiga negara tersebut memaklumkan komitmen tersebut ketika Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) + 3 (China, Jepun, Korea) ke-21, hari ini.

    “Saya telah memberi kenyataan tadi untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka dan kita memang mengharapkan bantuan teknikal terutama dari segi teknologi untuk beralih kepada tenaga bersih dan TBB,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media Malaysia pada hari terakhir AMEM ke-42 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan yang berlangsung bermula 26 hingga 27 September.

    Sebagai Naib Pengerusi AMEM, Fadillah berkata bantuan yang sama turut diharapkan oleh ASEAN dari negara maju lain seperti Amerika Syarikat, Rusia dan Australia bagi pembangunan sektor tersebut.

    Sementara itu mengenai hasil mesyuarat dua hala dengan Vietnam di luar persidangan AMEM ke-42 hari ini, Fadillah berkata Malaysia mengusulkan agar proses lanjutan memorandum persefahaman (MoU) kerjasama eksplorasi minyak dan gas sedia ada antara Petronas dan sebuah syarikat minyak Vietnam dapat dipercepatkan.

    “MoU itu akan tamat tempoh sebenarnya dan Petronas sudah ada pasukan untuk mengemukakan tempoh lanjutan MoU sehingga 20 tahun akan datang supaya pelaburan itu dapat diteruskan.

    “Timbalan Menteri Vietnam berkata perkara itu akan dibawa balik untuk dipercepatkan proses dan mengharapkan MoU itu akan dapat disambung lagi,” katanya.

    Selain itu, katanya, Malaysia juga memaklumkan minat Gentari Sdn Bhd, anak syarikat milik Petronas dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk melabur di Vietnam dalam industri tenaga angin. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda