BEIJING, 10 JAN – China melaporkan lima kes strain mpox baharu kelmarin, namun menyatakan bahawa ‘wabak telah dikendalikan dengan berkesan’.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global pada Ogos dan memperbaharuinya pada November susulan wabak di Republik Demokratik Congo (DRC), di mana ia meragut lebih 1,000 nyawa.
Dua hari selepas pengisytiharan WHO pada Ogos, China mengumumkan bahawa ia akan memeriksa pelawat yang memasuki negaranya dalam tempoh enam bulan akan datang.
Pihak berkuasa kesihatan China kelmarin mengesahkan penemuan kluster wabak strain mpox Clade 1b, dengan sumber jangkitan daripada seorang individu yang pernah tinggal di DRC.
Empat individu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit tersebut disahkan dijangkiti strain itu dan menunjukkan simptom ringan seperti ruam dan kulit luka, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China (CDC) dalam satu kenyataan.
“Individu yang dijangkiti dan berisiko sedang menerima rawatan perubatan serta pemantauan kesihatan, dan wabak berjaya ditangani dengan berkesan,” tambah CDC.
Sehingga kini, tiada kes ditemui dalam kalangan kontak lain, umum pihak berkuasa kesihatan berkenaan. – AFP