Wednesday, April 23, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    CHOD bincang cabaran keselamatan semasa

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Persidangan Ketua-ketua Pertahanan Indo-Pasifik (CHOD) 2019 telah berlangsung selama tiga hari, bermula 26 Ogos lalu hingga kelmarin, di Bangkok, Thailand bagi membincangkan mengenai cabaran keselamatan semasa di rantau Indo-Pasifik.

    Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud telah menghadiri persidangan berkenaan dengan diiringi oleh Pengarah Pusat Optima Kecergasan Tentera, Kolonel (U) Pengiran Haji Mohammed Hasreen bin Pengiran Haji Ali Hassan. Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini, Persidangan CHOD 2019 telah dianjurkan bersama oleh Angkatan Bersenjata Diraja Thailand dan United States Indo-Pasifik Command, di mana seramai 33 orang ketua turus pertahanan dan wakil-wakil dari rantau Indo-Pasifik telah menghadirinya.

    Semasa persidangan bertema Collaboration in a Free and Open Indo-Pacific itu, ketua-ketua turus pertahanan turut membincangkan kepentingan persahabatan, peningkatan komunikasi dan kerjasama bagi menggalakkan rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka. Sebahagian daripada agenda persidangan termasuk penyampaian kertas kerja oleh para penceramah jemputan yang merupakan pakar dalam topik-topik berkaitan dengan tema persidangan serta sesi pleno bagi ketua-ketua turus pertahanan untuk mengadakan perbincangan terbuka mengenai cabaran-cabaran bersama yang dihadapi.

    Manakala itu, ucaptama bagi persidangan tersebut telah disampaikan oleh Perdana Menteri Thailand, Tuan Yang Terutama Prayut Chan-o-cha.

    Pemerintah ABDB juga telah mengadakan kunjungan muhibah dengan rakan-rakan ketua turus pertahanan bagi membincangkan mengenai hubungan ketenteraan dua hala yang erat antara Negara Brunei Darussalam dan negara masing-masing, serta inisiatif-inisiatif masa depan untuk memperkuatkan lagi hubungan profesional dan jalinan persahabatan peribadi di kalangan angkatan tentera rantau Indo-Pasifik secara umum.Persidangan tersebut berakhir dengan majlis makan malam perpisahan pada hari terakhir.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda