Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Ciptaan ‘sepeda’ unik daripada buluh

    TEMANGGUNG, INDONESIA – Ketika Presiden Indonesia Joko Widodo memimpin Anthony Albanese di sekeliling taman hijau sekitar istana presiden di selatan Jakarta pada awal bulan ini, beliau menghadiahi perdana menteri Australia baharu dengan basikal unik yang diperbuat daripada buluh.

    Pada malam sebelumnya, pereka Singgih Susilo Kartono mendapat tahu bahawa model Spedagi yang diciptanya di sebuah kampung kecil di pulau Jawa akan menjadi basikal yang akan ditunggang oleh kedua-dua pemimpin sebelah-menyebelah dalam diplomasi berbasikal yang istimewa.

    Perdana Menteri Albanese akan memasukkan seluarnya dalam sarung kaki selepas pemimpin negara itu menanggalkan jaket dan tali lehernya dan memakai topi keledar, justeru memulakan perjalanan simbolik dengan basikal yang ringan dan mesra alam.

    Pereka berusia 54 tahun itu memberitahu AFP tanda diplomatik tersebut merupakan ‘saat yang istimewa’ bagi dirinya selepas menghabiskan bertahun-tahun membangunkan basikal berkenaan.

    “Ia bukan mengenai basikal yang dibeli oleh Jokowi, tetapi disebabkan ia digunakan untuk mengalu-alukan perdana menteri Albanese,” katanya.

    Kartono bersiar-siar bersama basikal buluh yang direkanya di Temanggung, Jawa Tengah. – AFP
    Singgih Susilo Kartono bergambar bersama rangka basikal buluh yang direkanya di bengkel di Temanggung, Jawa Tengah. – AFP

    Apabila tidak memperlengkapi pemimpin dunia dengan basikal buluh baharu, Kartono menggunakan seni pertukangan basikal mapannya untuk memperkenalkan pekerjaan kepada penduduk tempatan dan menunjukkan penduduk kampung Indonesia cara-cara mereka boleh memanfaatkan alam sekitar di sekeliling mereka.

    “Saya melatih belia di sini yang kekurangan kemahiran. Kami mempunyai sistem untuk melatih orang tidak mahir sehingga mereka boleh menghasilkan produk berkualiti,” ujarnya. Model itu, dinamakan sempena perkataan Indonesia ‘sepeda’ untuk basikal dan pagi, dibangunkan oleh sekumpulan 15 pekerja di sebuah bengkel di kampung Kartono di Jawa Tengah, di mana dia sendiri menunggang basikal ciptaannya setiap hari.

    Batang buluh dipotong oleh kumpulan pekerjanya, divarnis dengan bahan awet, dikeringkan, kemudian disalut dengan plastik sebelum digabungkan dengan bahagian lain untuk memasang rangka basikal yang teguh.

    Secara perbandingan, buluh adalah sama kuat dengan keluli apabila digunakan dalam struktur ringan, menurut kajian, dengan kekuatan tegangan tinggi yang menjadikannya pengganti yang wajar dan mesra alam.

    Basikal buluh yang telah siap dipasang sepenuhnya boleh mengambil masa seminggu untuk dihasilkan, dijual dengan harga 15 juta rupiah (AS$1,000), dan sesetengahnya telah dijual ke negara lain seperti Jepun, beritahu pengasas bersama Tri Wahyuni kepada AFP.

    Basikal mapan yang digunakan oleh kedua-dua pemimpin itu dibina dengan bahan yang lebih mahal, menurut Kartono, namun enggan mendedahkan harga sebenarnya.

    Widodo, terkenal di negara kerana menghadiahkan basikal kepada penduduk biasa Indonesia, merupakan peminat tegar Spedagi dan secara peribadi telah membeli sebuah dari Kartono pada 2015.

    Albanese berasa amat teruja dengan basikal itu, membawanya pulang ke Canberra dan berkata orang akan melihatnya di jalan raya menunggang ‘satu-satunya basikal buluh’ di ibu negara Australia.

    Kedua-dua basikal dan buluh – mampu dimiliki dan boleh didapati dengan banyak di Indonesia – amat berkait rapat dengan kelas berpendapatan rendah di negara gugusan kepulauan, sesuatu yang menyentuh perasaan kedua-dua pemimpin yang datang dari latar belakang sederhana.

    Namun sementara hasil rekaan Kartono menggabungkan dua simbol warisan Indonesia, ia kini dikaitkan dengan diplomasi yang berkembang dalam minggu pertama kepimpinan Albanese.

    “Setiap kali saya menunggang basikal, saya akan ingat persahabatan yang dijalin dengan Presiden Widodo,” katanya. Dengan ciptaannya sendiri kini merentasi Pasifik, Kartono berkata dia melihat basikal buluh dihasilkan di mana tumbuhan itu jarang ditemui – seperti di utara Eropah – yang pertama mencetus inspirasi kepadanya untuk mereka bentuk basikalnya.

    “Apabila saya mencari produk basikal di internet, saya mendapati basikal buluh dibuat di negara yang tidak mempunyai buluh. Ia memberikan satu tamparan kepada saya,” kata usahawan itu.

    “Buluh boleh didapati di semua tempat di sekitar rumah saya.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...