LONDON, 29 OGOS – Manchester City akan memulakan kempen mempertahankan Piala Liga pada pusingan ketiga bertemu kelab divisyen dua Preston bulan depan, manakala Liverpool akan menentang MK Dons.
Preston akan menjadi pasukan pertama cuba menamatkan percubaan City untuk merangkul kejuaraan treble berturut-turut apabila menerima kunjungan juara Liga Perdana Inggeris itu ke Deepdale.
Anak buah Alex Neil membelasah naib juara 2013 Bradford 4-0 dalam pusingan kedua pada Rabu minggu lalu untuk mara dan akan berdepan City yang menjaringkan 27 gol dalam enam perlawanan menentang lawan liga yang lebih rendah musim lalu.
Juara Eropah, Liverpool dikalahkan Chelsea dalam pusingan ketiga musim lalu tetapi dijangka berdepan laluan mudah bertemu pasukan League One, MK Dons. Anak buah Jurgen Klopp memegang rekod dengan lapan kejuaraan dalam kejohanan ini.
Undian lain menyaksikan pertembungan tetangga Hampshire kali pertama sejak April 2012 antara Portsmouth dan Southampton. Kelab divisyen tiga, Portsmouth akan melayan kunjungan Saints kendalian Ralph Hasenhuttl di Fratton Park selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas QPR.
Naib juara musim lalu, Chelsea akan bertemu Grimsby atau Macclesfield yang perlawanannya ditangguhkan akibat hujan lebat, sementara Arsenal menerima kunjungan Nottingham Forest di Stadium Emirates dan Tottenham bertandang ke Colchester.
Manchester United akan menentang Rochdale di Old Trafford. Perlawanan akan berlangsung bermula pada 23 September. – AFP