OKLAHOMA, 20 APRIL – Tiga puluh tahun selepas serangan paling dahsyat yang dilakukan oleh penduduk tempatan dalam sejarah Amerika Syarikat, bekas Presiden Bill Clinton telah kembali ke Oklahoma City kelmarin.
Dalam masa yang sama bagi memperingati mangsa yang terkorban dan memberikan semangat kepada mereka yang terkesan akibat pengeboman tersebut.
Clinton merupakan Presiden AS pada 19 April 1995, ketika sebuah bom trak meletup dan memusnahkan sebuah bangunan persekutuan sembilan tingkat di pusat bandar Oklahoma City.
Beliau menyampaikan ucapan utama dalam satu majlis peringatan yang diadakan berhampiran Muzium Memorial Nasional Oklahoma City.
Clinton, 78 tahun, dipuji secara meluas atas peranannya membantu bandar itu mengharungi kesedihan susulan pengeboman yang meragut 168 nyawa, termasuk 19 kanak-kanak.

Sejak tragedi itu, Clinton telah beberapa kali melawat Muzium Memorial Nasional Oklahoma City dan menyampaikan ucapan pada ulang tahun penting.
Kelmarin, Clinton turut memberi amaran mengenai sifat politik zaman kini yang semakin memecahbelahkan dan bagaimana perpecahan seperti itu boleh membawa kepada keganasan, sebagaimana yang berlaku 30 tahun lalu.
Beliau berkata negara ini boleh banyak belajar daripada ‘Piawaian Oklahoma’, satu istilah yang merujuk kepada bertindak balas bandar itu terhadap pengeboman iaitu dengan bersatu dalam perkhidmatan, kehormatan dan kebaikan.
Tambahnya lagi, “Hari ini, Oklahoma City, Amerika memerlukan kamu. Saya harap setiap rakyat Amerika dapat melihat sendiri kehidupan di sini dan mendengar kisah-kisah ini.”
Antara penceramah lain, bekas Gabenor Oklahoma, Frank Keating dan bekas Datuk Bandar Oklahoma City, Ron Norick. Ahli keluarga mangsa juga turut membacakan nama 168 individu yang terkorban dalam serangan tersebut.
Majlis peringatan kelmarin pada asalnya dijadualkan berlangsung di perkarangan memorial, namun dipindahkan ke dalam sebuah gereja bersebelahan akibat hujan lebat.
Menurut, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif memorial tersebut, Kari Watkins, salah satu misi utama memorial diadakan adalah untuk membantu orang ramai memahami betapa tidak warasnya keganasan politik dan mendidik generasi baharu tentang impak pengeboman itu. – AP