KUALA LUMPUR, 21 DIS – Continental Tyre AS Malaysia Sdn Bhd telah bekerjasama dengan Solarvest Holdings Bhd untuk pemasangan sistem fotovoltan (PV) atas bumbung berkuasa 618.75 kWp di kilang membuat tayarnya di Alor Setar, Kedah.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Continental berkata sistem PV solar itu akan membantu mengimbangi sekurang-kurangnya 536 tan metrik pelepasan karbon selain menjimatkan lebih 800 megawatt-jam (MWj) dalam penggunaan elektrik setiap tahun.
“Continental komited untuk kecekapan tenaga yang lebih tinggi serta pembuatan yang mampan alam sekitar (dan berada pada) laluan ke arah neutraliti karbon menjelang 2040,” kata kenyataan itu, sambil menambah langkah itu akan memanfaatkan skim Pemeteran Tenaga Bersih (MEB).
Skim MEB kerajaan yang diperkenalkan pada 2016 menggalakkan pengguna elektrik iaitu isi rumah dan perniagaan memasang sistem PV di atas bumbung premis mereka untuk menukar cahaya matahari kepada tenaga suria dan menjual lebihan tenaga yang dijana kepada grid nasional.
Pengurus kilang Continental, Noor Izwan Ismail berkata, pemasangan sistem PV itu menunjukkan kedua-dua pertumbuhan mampan dan inovasi yang seiring dengan penyelesaian mesra alam. – Bernama