Thursday, May 2, 2024
26.9 C
Brunei

    -

    Solarvest akan pasang PV solar terbesar di Malaysia

    KUALA LUMPUR, 15 APRIL – Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.

    Sistem tenaga solar itu akan meliputi 273,300 kaki persegi kawasan bumbung dan tempat letak kereta, menjana lebih daripada 5,700 kilowatt puncak (kWp) tenaga boleh baharu bagi membekalkan kuasa kepada pusat beli-belah itu, kata syarikat tersebut dalam satu kenyataan bersama hari ini.

    Solarvest akan menyelia kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, dan pengoperasian untuk pemasangan sistem dan menjalankan kajian tapak bagi menentukan kapasiti yang paling kos efektif untuk memenuhi keperluan tenaga pusat beli-belah itu.

    Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata terdapat peningkatan minat terhadap penggunaan tenaga bersih, terutamanya dalam kalangan pemain komersial dan industri.

    “Peningkatan nilai perolehan kontrak kami di Malaysia daripada 1.6 gigawatt (GW) tahun lepas kepada 2.8 GW tahun ini menunjukkan pertambahan pesat penggunaan tenaga bersih,” katanya dalam kenyataan itu.

    Sementara itu, pengurus kanan perhubungan awam dan kemampanan 1 Utama, Lee Li Lian berkata pemasangan sistem tenaga solar itu merupakan langkah kehadapan bagi pusat beli-belah itu untuk mencapai matlamat pembinaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta sifar tenaga.

    “Dengan tenaga solar sebagai sumber elektrik yang terjamin dan bertanggungjawab, kami berharap dapat melaksanakan lebih banyak projek pada masa akan datang bagi mengurangkan penggunaan tenaga dan mengoptimumkan sumber,” katanya. – Bernama

    Gambar Berita Harian
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jeremiah Manele dipilih sebagai PM baharu Kepulauan Solomon

    HONIARA, 2 MEI - Menteri Luar Jeremiah Manele dipilih sebagai Perdana Menteri baharu Kepulauan Solomon oleh ahli Parlimen negara itu pada Khamis, umum Gabenor...