Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    COSTI-84 bincang tangani cabaran serantau

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Sains, teknologi dan inovasi (STI) amat penting dalam menangani cabaran-cabaran serantau termasuk penggunaan AI generatif yang bertanggungjawab.

    Perkara itu ditekankan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Ir Mohamad Nazri bin Mohammad Yusof dalam ucapannya semasa pembukaan Mesyuarat Jawatankuasa ASEAN STI ke-84 (COSTI-84) yang berlangsung di Bohol, Filipina pada 19 dan 20 Oktober lalu.

    Ir Mohamad Nazri selaku Pengerusi Kebangsaan COSTI bagi Negara Brunei Darussalam berkata, kemajuan yang telah dicapai dalam Pelan Tindakan ASEAN mengenai STI (APASTI), mencatat kepentingan Dana STI ASEAN (ASTIF), serta peranan STI dalam mengurangkan kesan perubahan iklim dan mempromosikan kelestarian, tekan beliau lagi ketika mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

    Beliau juga menekankan komitmen untuk meningkatkan kerjasama dalam kedayatahanan bencana dan iklim dengan memberikan tumpuan kepada komuniti setempat sebagai barisan pertahanan penting.

    Semasa Mesyuarat COSTI-84, beberapa perkara utama telah dibincangkan termasuk kemas kini mengenai status ASTIF, perbincangan mengenai laporan daripada Lembaga Penasihat kepada COSTI (BAC) dan Pengerusi-pengerusi COSTI Sub-committees dan Pengerusi High Performance Computing Task Force.

    Ir Mohamad Nazri semasa menghadiri Pembukaan Mesyuarat Jawatankuasa ASEAN tentang Sains, Teknologi dan Inovasi ke-84 pada baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN MTIC

    Mesyuarat turut membincangkan mengenai Pembangunan APASTI 2026-2035: Fasa II yang akan menumpukan kepada draf APASTI 2026-2035, pelancaran Policy Brief: Strengthening ASEAN Women’s Participation in STEM dan laporan kemajuan mengenai perkembangan cadangan inisiatif Keutamaan Tahunan 2024 STI yang telah diluluskan semasa Mesyuarat COSTI-83 dan mengambil maklum cadangan inisiatif yang baru.

    Mesyuarat turut menyaksikan sesi khas mengenai pembangunan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) generatif yang bertanggungjawab di ASEAN dan persetujuan mengenai pengaturan serta jadual Mesyuarat COSTI ke-85 yang akan dihoskan oleh Kemboja.

    Majlis Penganugerahan The Underwriter’s Laboratories-ASEAN-US Science Prize for Women 2023 juga telah diadakan dengan Negara Brunei Darussalam menghantar dua penyertaan untuk anugerah berkenaan tetapi tidak terpilih sebagai finalis.

    Pemenang Kategori Saintis Senior ialah Thailand dan pemenang Kategori Mid-Career Scientist ialah Filipina.

    Terdahulu sebelum Mesyuarat COSTI-84, Mesyuarat Jawatankuasa Kecil COSTI dan Mesyuarat Lembaga Penasihat COSTI (BAC-15) telah bersidang dari 16 hingga 19 Oktober bagi membincangkan serta merangka strategi yang akan meningkatkan lagi integrasi STI di seluruh ASEAN.

    Di samping Mesyuarat COSTI-84, Mesyuarat Pertama Dialog ASEAN-UK mengenai STI (AUKDSTI-1) juga telah diadakan pada 20 Oktober lalu.

    Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Ir Mohamad Nazri dan Duta United Kingdom ke ASEAN, Puan Yang Terutama Sarah Tiffin di mana perbincangan merangkumi kajian semula pelan tindakan ASEAN-UK, kemajuan kerjasama STI ASEAN-UK serta bidang kerjasama ASEAN-UK pada masa hadapan.

    Selain daripada itu, Mesyuarat Dialog ASEAN-EU mengenai STI ke-11 (AEUDSTI-11) telah diadakan yang dipengerusikan bersama oleh Ir Mohamad Nazri dan Timbalan Ketua Pengarah dari Suruhanjaya Eropah, Joanna Drake.

    Mesyuarat itu menumpukan perbincangan kepada keutamaan dasar penyelidikan dan infrastruktur ASEAN dan EU serta tumpuan masa depan instrumen Dialog E-READI.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...