PUTRAJAYA, 2 OKT – Malaysia dijangka memasuki gelombang ketiga COVID-19 selari dengan trend peningkatan jumlah kes di seluruh dunia kebelakangan ini, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (gambar bawah).
“Sekarang ini kita lihat pada peringkat permulaan untuk gelombang ketiga, jadi kes-kes telah dikesan bukan hanya negara kita tetapi juga negara-negara lain menghadapi peningkatan kes,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.
Ditanya mengenai unjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi kes COVID-19, Dr Noor Hisham berkata ia bergantung kepada tindakan KKM, pelbagai agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta seluruh rakyat Malaysia.
“Kalau kita bersama dapat mengamalkan tindakan masing-masing iaitu patuhi SOP manakala KKM akan melaksanakan tindakan kesihatan awam, (sebagai contoh) PDRM akan melaksanakan sekatan jalan raya serta ATM mempertingkat kawalan sempadan, jalan-jalan tikus dan sebagainya. Kementerian juga akan mengambil tindakan untuk melindungi tempat-tempat seperti pusat jagaan warga emas dan depoh tahanan Imigresen, penjara dan tempat tahanan yang lain,” katanya. – Bernama