LONDON, 1 APRIL – Seorang budak lelaki warga Britain berusia 13 tahun telah meninggal dunia beberapa hari selepas diuji positif dijangkiti COVID-19, kata pegawai hospital dan keluarganya semalam, dengan saudara berkata dia tidak menghidapi penyakit lain.
Budak lelaki itu, yang meninggal dunia di Hospital King’s College di London, dipercayai kematian paling muda di Britain akibat pandemik koronavirus.
Seorang budak perempuan berusia 12 tahun, dengan kematiannya disahkan awal semalam di Belgium, dipercayai mangsa paling muda di Eropah.
Keluarga budak lelaki itu berkata Ismail Mohamed Abdulwahab ‘mulai menunjukkan gejala dan mempunyai kesukaran bernafas’ sebelum dia dimasukkan ke hospital.
“Dia diberikan ventilator dan seterusnya ‘ditidurkan’ tetapi meninggal dunia pagi semalam,” kata keluarganya menerusi seorang kawan keluarga, Mark Stephenson, dan menambah: “Kami berasa amat terkejut.”
Nathalie MacDermott, pensyarah di King’s College, berkata: “Sementara kami tahu kanak-kanak kurang menderita jangkitan teruk COVID-19 berbanding orang dewasa, kes ini memaparkan kepentingan kami semua mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan penyebaran jangkitan di UK dan seluruh dunia.”
Semalam, Britain mengumumkan 381 kematian akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu, angka tertinggi dalam negara sejak bermulanya pandemik, membawa jumlah kematian kepada 1,789 orang. – AFP