COVID: 918 kes sembuh direkodkan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Terdapat penurunan dalam kes yang berada di kategori 4 dan 5 pada ketika ini, di mana sebanyak enam kes kini berada dalam kategori 4 dan satu kes berada dalam kategori 5.

Sementara itu, dalam masa 24 jam yang lalu, tiga kes yang disahkan dijangkiti COVID telah meninggal dunia. Satu kes dikategorikan sebagai kematian disebabkan COVID, yang mana kes ini hanya menerima satu dos vaksin. Manakala, dua kes lagi tidak dikategorikan sebagai kematian disebabkan oleh COVID. 

Perkara tersebut antara yang disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan yang berlangsung pada petang tadi.

Turut hadir semasa sidang media tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

“Sebanyak 787 kes baharu telah dilaporkan pada hari ini yang membawa kepada jumlah keseluruhan sebanyak 132,981 kes. Daripada jumlah kes baharu ini, 671 adalah hasil ujian ART yang telah dimuatnaik ke aplikasi BruHealth manakala 116 adalah daripada hasil 1,665 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.

“Sementara itu, 918 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 126,760 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 6,015 kes iaitu 96 kes aktif di hospital-hospital manakala 5,919 kes positif sedang menjalani pengasingan diri di rumah,” kongsi Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi.

Seterusnya, Yang Berhormat Dato juga menyatakan bahawa sehingga kelmarin, pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan bagi mereka yang menerima tiga dos vaksin ialah 61.1 peratus dari keseluruhan penduduk di negara ini.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa menghadiri sesi sidang media tersebut, kelmarin. – Gambar oleh James Kon