STOKE-ON-TRENT, 2 Feb – Peter Crouch telah menjaringkan golnya ke-100 dalam Liga Perdana apabila Stoke City mengekang kebangkitan Everton kebelakangan ini dengan keputusan seri 1-1.
Bekas penyerang England itu telah menjadi pemain ke-26 yang telah mencapai jaringan itu selepas membuka jaringan bagi pasukan Mark Hughes di minit ketujuh.
Tetapi kapten Stoke, Ryan Shawcross telah membuat jaringan sendiri ketika cuba menghalang hantaran lintang Seamus Coleman sebelum rehat, sekali gus melanjutkan perlawanan tanpa kalah Everton dalam liga kepada enam perlawanan.
The Toffes kekal berada di tangga ketujuh liga, sementara Stoke memintas Burnley ke tangga kesembilan menerusi perbezaan jaringan.
Ronald Koeman telah memberikan permulaan pertama Morgan Schneiderlin selepas tiba dari Manchester Unied dalam perjanjian yang mungkin meningkat kepada 24 juta pound.
Sementara Saido Berahino telah dinamakan di bangku simpanan Stoke, disenaraikan buat pertama kali selepas akhirnya meninggalkan West Bromwich Albion bulan lepas.
Stoke memburu kemenangan ketiga dalam empat perlawanan dan mendapat peluang itu apabila Marko Arnautovic bergandingan dengan Crouch bagi jaringan keempatnya musim ini.
Crouch terbukti menjadi ‘darah dalam daging’ bagi pertahanan pasukan pelawat, dua kali nyaris menambah jaringannya dengan tandukan tepat kepada Joel Robles sebelum voli kencangnya tersasar. – AFP