Monday, October 14, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cuaca aktif hingga 18 Oktober

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Keadaan cuaca diramalkan aktif bermula malam ini sehingga 18 Oktober dengan hujan, sekali sekala lebat dan berpetir dijangka menjejaskan kawasan pedalaman pada lewat petang dan merebak ke kawasan pesisiran dan perairan negara waktu malam dan berpotensi berlanjutan ke awal pagi keesokan hari. Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45kmsj semasa hujan lebat.

    Sementara keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit, di bawah 1 meter. Namun, ia dijangka meningkat ke paras sederhana ke bergelora, antara 1 hingga 2.5 meter terutamanya di kawasan lepas pantai bermula 16 hingga 18 Oktober.

    Kemas kini maklumat keadaan cuaca itu dikongsikan oleh Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dalam kenyataannya hari ini.

    BDMD turut menjelaskan keadaan cuaca negara secara amnya ketika ini berada dalam tempoh peralihan monsun yang dijangka akan berterusan sehingga penghujung bulan November 2024, sebelum memasuki monsun timur laut.

    Sepanjang tempoh monsun peralihan ini, kesan angin tempatan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian negara kita.

    Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku.

    Terdapat risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Kejadian pokok tumbang, atap terbang dan tanah susur juga boleh berlaku semasa keadaan berangin kencang dan hujan lebat.

    Orang ramai termasuk pemandu di jalan raya dan pelaut, dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    Dalam masa yang sama, BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa serta mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit iaitu Brunei WX atau hubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau layari laman sesawang www.met.gov.bn.

    Gambar hiasan. – Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda