Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Cuaca buruk tambah derita rakyat Palestin

    GAZA – Selama tiga malam berturut-turut, Om Mohammed Al-Attar, seorang wanita Palestin berusia 45 tahun, bergerak antara sudut khemahnya di Bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza untuk mengeluarkan air hujan yang telah menyusup ke dalam tilam lima anaknya.

    “Air hujan yang lebat menyebabkan anak-anak saya tidak dapat tidur kerana semua
    tilam dan pakaian basah. Mereka terpaksa tinggal di kawasan lapang tanpa sebarang penutup yang melindungi mereka daripada cuaca sejuk,” katanya kepada Xinhua dengan linangan air mata.

    Al-Attar, yang dipindahkan dari bandar Beit Lahia di utara Semenanjung Gaza ke Bandar Rafah, berkata bahawa keluarganya kehilangan tempat tinggal dan tinggal di dalam khemah yang “tidak melindungi mereka daripada kedinginan malah daripada pengeboman Israel.”

    Situasi mengerikan yang sama dialami oleh Walid Hammad, yang tiba di Bandar Rafah selepas perjalanan pemindahan dari kem pelarian Jabalia di utara Gaza bersama isteri dan enam anaknya.

    Mereka dibasahi air hujan pada waktu malam dan sebaik matahari terbit keesokan harinya, Hammad memeriksa khemahnya, yang tiang kayunya patah dan semua barang di dalamnya tenggelam dalam air hujan, yang mewujudkan sebuah tasik kecil di dalamnya.

    Rakyat Palestin dilihat selepas hujan di kem sementara di Bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza, pada 28 Januari. – Xinhua
    Gambar Xinhua
    Gambar Xinhua
    Kanak-kanak duduk berhampiran khemah di pusat perlindungan sementara untuk rakyat Palestin yang melarikan diri ke Rafah di selatan Semenanjung Gaza pada 30 Januari. – AFP
    Seorang gadis berjalan meredah air hujan di kem sementara di Bandar Rafah. – Xinhua

    “Saya tidak tahu berapa lama kami akan berada dalam penderitaan ini. Kami melarikan diri daripada kematian dan sekarang kami melarikan diri daripada hujan, tetapi kami tidak dapat melarikan diri daripada penyakit yang menimpa kami kerana kesejukan yang membekukan tatkala kekurangan keperluan harian,” kata Hammad kepada Xinhua.

    Hammad dan Al-Attar mengadu tentang kekurangan keperluan hidup di khemah-khemah di mana puluhan ribu penduduk Palestin yang terpaksa berpindah, tinggal untuk melarikan diri daripada operasi ketenteraan Israel di kawasan yang dikepung itu.

    Penduduk Semenanjung Gaza, yang menempatkan kira-kira 2.3 juta rakyat Palestin, telah hidup dalam keadaan yang sukar sejak 7 Oktober 2023, selepas Israel mengisytiharkan ‘perang’ besar-besaran.

    Sejak itu, tentera Israel terus melancarkan serangan udara, darat dan laut ke atas Semenanjung Gaza, membunuh lebih 26,400 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 62,000 yang lain setakat 29 Januari, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut pengumuman Kementerian Kesihatan yang dikawal Hamas di Gaza.

    Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memberi amaran bahawa puluhan ribu orang yang dipindahkan mengalami keadaan bencana di dalam dan luar tempat perlindungan kerana kekurangan makanan, air, tempat tinggal, penjagaan perubatan dan perlindungan.

    “Ketiadaan tandas meningkatkan risiko penularan penyakit,” terutamanya apabila hujan menyebabkan banjir, ia memberi amaran. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...