Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Cuaca diramal terus aktif hingga 15 Okt

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Beberapa hari kebelakangan ini, hujan dan ribut petir kerap berlaku di kawa-san pedalaman pada sebelah petang serta menjejaskan kawasan persisiran dan perairan negara pada waktu malam dan berlanjutan sehingga awal pagi keesokan harinya.

    Ini disebabkan Negara Brunei Darussalam berada dalam monsun peralihan, di mana kesan angin tempatan memainkan peranan penting dalam mempengaruhi cuaca harian negara.

    Selain itu, keadaan cuaca turut diramalkan aktif bermula hari ini hingga 15 Oktober disebabkan pengaruh sistem tekanan rendah yang membentuk di kawasan Laut China Selatan, menurut kenyataan dari Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

    Keadaan itu dijangka boleh menyebabkan kejadian hujan berangin ribut sekali-sekala berlaku terutamanya di perairan negara dan kadangkala menjejaskan kawasan darat.

    Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 50kmsj di darat dan 60kmsj di perairan negara, semasa atau dekat hujan ribut.

    Manakala itu, di perairan Brunei, keadaan laut berombak di paras bergelora, di antara 2.0 meter hingga 3.0 meter, terutamanya bermula pada 12 Oktober hingga 14 Oktober.

    Orang ramai khususnya pemandu di jalan raya dan para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca terkini. – Gambar oleh Muiz Matdani

    BDMD menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Kejadian pokok tumbang dan tanah susur boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.

    Risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah, mudah banjir dan di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat serta semasa kejadian air pasang.

    Keadaan laut bergelora juga berbahaya kepada semua bot bersaiz kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut.

    Orang ramai khususnya pemandu di jalan raya dan para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD serta membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa serta akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Jabatan berkenaan menyatakan lagi bahawa maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi mudah alih iaitu Brunei WX, kerana maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.

    Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan meng-hubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114, melayari laman sesawang, www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook dan Instagram, @bruneiweather.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...