Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Cuaca diramalkan terus aktif minggu ini

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Negara Brunei Darussalam masih berada di penghujung monsun barat daya di mana luruan angin barat daya masih dominan dan keadaan atmosfera adalah stabil.

    Walau bagaimanapun, keadaan cuaca negara pada beberapa hari kebelakangan ini adalah aktif disebabkan oleh pengaruh secara tidak langsung daripada sistem-sistem taufan yang melanda kawasan barat laut Lautan Pasifik, menurut Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

    Keadaan cuaca aktif masih diramalkan berlaku pada minggu ini terutamanya pada 22 dan 23 September disebabkan pembentukan awan hujan aktif yang berpotensi menyebabkan hujan berangin ribut atau hujan badai berlaku sekali-skala.

    Hujan berangin ribut atau hujan badai dijangka sekali-skala menjejaskan kawasan negara terutamanya di kawasan laut dan boleh merebak ke kawasan darat dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 50kmsj.

    Di perairan negara, keadaan laut pada amnya berombak sedikit, di paras 0.4 meter hingga 1.0 meter.

    BDMD menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku dengan terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat dan semasa kejadian air pasang.

    Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.

    Orang ramai terutamanya para pemandu di jalan raya dan para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa serta akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...