Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Cuaca negara diramal masih aktif

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam masih diramalkan aktif untuk beberapa hari akan datang disebabkan oleh pembentukan sistem tekanan rendah berdekatan dengan negara yang menjadikan keadaan atmosfera tidak stabil serta seterusnya meningkatkan pembentukan awan-awan hujan.

    Keadaan cuaca aktif dijangka bermula pada malam ini iaitu 30 Mei hingga 3 Jun dengan hujan lebat dan berpetir dijangka berlaku sekali-skala menjejaskan banyak kawasan negara.

    Manakala itu, kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kmsj semasa hujan lebat atau berpetir dengan keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit di antara 0.3 dan 0.7 meter.

    Maklumat keadaan cuaca negara berkenaan, dikeluarkan oleh Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, dengan jabatan berkenaan turut menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di penghujung tempoh peralihan monsun dan akan beralih ke fasa Monsun Barat Daya pada Jun nanti di mana pada lazimnya Monsun Barat Daya akan berterusan sehingga September.

    Semasa Monsun Barat Daya, keadaan atmosfera di negara pada biasanya adalah agak stabil dengan kejadian ribut petir berkurangan berbanding semasa monsun peralihan dengan kedaan angin secara amnya akan bertiup dari arah Barat Daya semasa tempoh berkenaan.

    Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku dengan terdapat risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Di samping itu, risiko pokok tumbang dan kejadian tanah susur juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.

    Dalam hubungan itu, orang ramai termasuk pemandu di jalan raya dan pelaut, dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam serta membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa serta akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Jabatan berkenaan menyatakan lagi bahawa maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.

    Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang, www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan saluran Telegram, BruneiWewather.

    – Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...