Tuesday, November 26, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Curi lambang hakim untuk dijadikan hadiah kepada abang

    KUALA LUMPUR, 12 JAN – Tindakan seorang remaja lelaki yang merosakkan lambang ‘hakim’ pada kenderaan rasmi milik Hakim Mahkamah Persekutuan untuk dihadiahkan kepada abangnya, membawa padah selepas kedua-duanya ditahan polis pada Isnin lepas.

    Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada pemandu hakim terbabit berusia 30 tahun yang menyedari kenderaan tersebut digores dengan benda tajam dan nombor pendaftaran serta lambang ‘hakim’ dicabut kira-kira 8:30 malam pada Ahad lepas, semasa kereta tersebut diparkir di tepi jalan di Taman Koperasi Polis Fasa Dua di sini.

    Menurutnya semakan rakaman kamera litar tertutup di sekitar lokasi kejadian mendapati dua beradik berusia 15 tahun itu menconteng permukaan kereta tersebut menggunakan batu dan mengaku dengan sengaja mematahkan lambang hakim di kereta terbabit ketika dalam perjalanan pulang ke rumah setelah selesai bermain bola di padang berhampiran.

    “Siasatan mendapati seorang daripada remaja itu bertindak mencabut lambang ‘hakim’ untuk dihadiahkan kepada abangnya yang akan menyambut hari kelahiran pada Mac ini.

    “Dua remaja terbabit ditahan di rumah mereka di Batu Caves, Selangor Isnin lepas dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini, hari ini. – Bernama

    Lambang ‘hakim’ pada kenderaan rasmi milik seorang Hakim Mahkamah Persekutuan yang dirosakkan dua remaja lelaki untuk dihadiahkan kepada abang mereka, dipamerkan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda