NICOSIA, 13 JUN – Pasukan antarabangsa telah menyertai anggota bomba Cyprus untuk memadamkan kebakaran yang berlarutan selama 36 jam di negara itu.
Greece dan Jordan telah menghantar pesawat untuk membantu usaha memadam kebakaran di daerah pergunungan Paphos di barat Cyprus, lapor pihak berkuasa tempatan, kelmarin.
Jurucakap Perkhidmatan Bomba Cyprus, Andreas Kettis, berkata anggota bomba masih berdepan dengan kebakaran besar akibat angin kencang dan suhu yang sangat tinggi mencecah 41 darjah Celsius di beberapa kawasan, lapor Xinhua.
Ketua Pegawai Bomba, Nikos Logginos, memberitahu radio nasional CyBC bahawa beliau berharap kebakaran itu dapat dikawal sebelum malam, sambil menambah bahawa anggota bomba menggunakan jentera berat untuk membuat laluan ke kawasan yang terjejas.
Menurut Kettis, kebakaran itu telah memusnahkan tumbuh-tumbuhan di lebih lapan kilometer persegi dan membakar dua rumah serta beberapa ladang haiwan.
Penduduk dari lima kampung yang telah dipindahkan semalaman dibenarkan pulang kelmarin.
Kerajaan berkata pegawai akan dihantar ke kawasan itu untuk merekodkan kerosakan harta benda. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/06/093737-01-02-scaled.jpg)