Friday, December 20, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dadah bernilai lebih $200,000 dirampas

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar serahan BKN

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MAC – Operasi Jackal yang dijalankan oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN) bermula 1 Mac sehingga ke hari ini di empat lokasi berlainan di negara ini telah berjaya merampas lebih 1.078 kilogram (kg) syabu dan 182.63 gram ganja yang dianggarkan bernilai lebih $200,000.

    Menurut kenyataan dikeluarkan BKN di sini hari ini, operasi itu menyasarkan seorang pembekal dadah utama di Daerah Brunei dan Muara dan setakat ini telah menahan enam orang warga tempatan iaitu empat lelaki dan dua perempuan berusia 21 hingga 48 tahun.

    Dadah yang dirampas boleh menampung kegunaan kira-kira 10,748 orang penagih dadah dan turut dirampas ialah wang tunai berjumlah $19,032, S$67 dan RM1,228 disyaki hasil aktiviti pengedaran dadah dan barang-barang kemas dengan berat keseluruhan.

    Hasil daripada siasatan yang dijalankan, beberapa orang tangkapan merupakan orang suruhan kepada dalang utama dan mempunyai peranan yang berlainan.

    Dalang utama, seorang warga tempatan dikenali sebagai Mohammad Mahadi bin Haji Suhaili, No. K/P: 00-269934 (K), bukan sahaja mempunyai rangkaian pengedaran dadah, tetapi turut bersekongkol dengan sindiket-sindiket lain dalam menjalankan kegiatan-kegiatan yang menyalahi undang-undang seperti permainan judi secara dalam talian dan penyeludupan barang-barang tegahan.

    Taktik dalang utama adalah dengan menggunakan pihak ketiga untuk menyeludup dadah masuk ke Negara Brunei Darussalam, menyimpan bekalan dadah dan wang hasil kegiatan pengedaran dadah. Taktik itu bertujuan untuk mengelirukan pihak berkuasa dan mengelakkan daripada dikesan.

    Manakala, seorang lagi tangkapan merupakan pengedar dadah tegar yang pernah menjalani hukuman penjara selama 21 tahun. Namun ianya tidak menghalang beliau untuk terus bergiat dalam aktiviti pengedaran dadah.

    Siasatan juga membongkar tempat penyembunyian bekalan dadah iaitu di dalam satu bekas tin biskut jenama ‘Funmix’ yang disembunyikan di kawasan semak dalam hutan di luar kawasan rumah salah seorang tangkapan di Kampung Buang Sakar, Mukim Lumapas.

    Operasi Jackal merupakan hasil pertukaran maklumat perisikan dan kerjasama antara BKN dan agensi sejawat di negara jiran yang mana dalang utama juga mempunyai kaitan dengan kes tangkapan dadah di persempadanan Negara Brunei Darussalam dan Malaysia yang telah tular di media sosial sebelum ini.

    Taktik pengedar yang meletakkan dadah ke dalam bekas tin biskut yang didalangi ketua sindiket dadah, Muhammad Mahadi (gambar sisipan).
    Antara dadah yang berjaya dirampas.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda