MANILA, 30 Julai – Seorang datuk bandar Filipina yang dituduh terlibat dalam penyeludupan narkotik telah ditembak mati bersama-sama 11 orang lagi dalam serbuan polis hari ini, pegawai terbaru yang dibunuh dalam usaha Presiden Rodrigo Duterte memerangi dadah.
Duterte memilih para pegawai tempatan, anggota polis dan hakim-hakim sebagai sebahagian tindakan itu yang telah menjadikan beliau popular dalam kalangan ramai rakyat Filipina, tetapi dikecam oleh kumpulan hak asasi kemanusiaan dan pengkritik-pengkritik lain.
Antara nama-nama yang disebutkan oleh Duterte ialah Reynaldo Parojinog, datuk bandar bagi bandar Ozamiz di pulau selatan Mindanao.
Dia dibunuh bersama-sama isteri, abangnya dan sembilan orang lagi dalam apa yang disifatkan oleh polis sebagai serbuan waktu subuh ke atas rumahnya.
“Polis menggunakan waran geledah apabila pengawal keselamatan bagi datuk bandar itu melepaskan tembakan ke arah mereka, dan oleh sebab itu pihak polis bertindak balas,” jurucakap serantau Superintenden Lemuel Gonda memberitahu AFP.
Bagaimanapun Jeffrey Ocang, penolong kepada keluarga Parojinog, iaitu suku politik berpengaruh menafikan berlaku sebarang kejadian berbalas-balas tembakan dan berkata kumpulan datuk bandar tidak melepaskan tembakan.
Pihak polis berkata tidak seorang pegawai mereka tercedera selain dari hanya seorang yang mengalami cedera ringan akibat letupan.
Ekoran serbuan itu pihak polis telah memberkas anak perempuan Parojinog, timbalan datuk bandar dan berkata dia akan berdepan dengan dakwaan.
Para pegawai telah menemui bom tangan, peluru dan dadah dari halaman Parojinog, menurut ketua polis wilayah Jaysen De Guzman.
Duterte telah memenangi pilihan raya presiden tahun lalu selepas berjanji akan membunuh berpuluh-puluh ribu penjenayah untuk menghalang Filipina dari menjadi negara narkotik. – AFP